Sebuah van yang membawa pelancong warga Singapura terbabas sebelum terjatuh dalam cerun bukit sedalam enam meter di Bukit Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Sebuah van yang membawa 10 pelancong warga Singapura terbabas sebelum terjatuh di cerun bukit sedalam enam meter di Bukit Genting di sini, hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, van yang dipandu lelaki tempatan itu dalam perjalanan membawa kesemua pelancong itu ke hotel sebaik mereka selesai makan malam di sebuah restoran di atas bukit tersebut.

Bagaimanapun, sebaik tiba di selekoh ketika menuruni cerun bukit itu van berkenaan dikatakan terbabas sebelum terjatuh ke dalam cerun dengan ketinggian kira-kira enam meter.

Difahamkan, seorang wanita warga Singapura maut akibat kejadian tersebut empat parah manakala lima lagi selamat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Pulau Pinang berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.14 malam sebelum anggota bomba dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi pihak bomba dapati kemalangan membabitkan sebuah van yang membawa pelancong Singapura terbabas sebelum terjatuh dalam cerun bukit pada ketinggian hampir enam meter.

Operasi menyelamatkan mangsa sedang dilakukan.

“Semakan mendapati terdapat 11 mangsa dalam van berkenaan dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang giat dilakukan,” katanya hari ini.

Operasi menyelamat dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau dengan bantuan BBP Balik Pulau serta pasukan bomba sukarela. – MalaysiaGazette