Muhamad Khanafi Husin (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Virtual Galeri IBS baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat kontraktor perumahan yang menggunakan kaedah inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS), Al Ansar PLT melancarkan Galeri Maya yang dikenali sebagai Virtual Galeri IBS yang dibangunkan menggunakan platform aplikasi maya sepenuhnya dengan format 3D dan pandangan sisi 360 darjah.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, sebagai salah satu pelan pemasaran untuk tahun hadapan, galeri maya itu juga menjadi trend semasa di mana pihaknya perlu peka dengan ledakan teknologi terbaru.

Jelas beliau, ia juga merupakan idea yang tercetus dalam menangani situasi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

“Sebelum ini pelanggan memilih datang ke galeri fizikal untuk melihat sendiri rekaan dan konsultansi secara bersemuka namun kita akur dengan situasi norma baharu di mana orang ramai memilih untuk lebih lama berada di rumah dan berharap kewujudan Virtual Galeri IBS relevan dan tepat pada masanya.

“Kami percaya teknologi maya ini meningkatkan hubungan dengan pelanggan dan  mewujudkan peluang kepada mereka melihat sendiri pembinaan kediaman yang sepenuhnya menggunakan  Inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS), tanpa perlu berada di tapak pembinaan fizikal malah segala maklumat lengkap berkaitan berada di hujung jari.” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pelancaran Virtual Galeri IBS berlangsung baru-baru ini turut dihadiri Pengarah Al Ansar PLT, Farizal Tumiran, Penasihat Undang-Undang Hisham Abdullah dan Pengarah Eksekutif Enzeq Ventures Sdn. Bhd., Nasrol Muhaimin yang membangunkan laman web galeri maya tersebut.

Muhamad Khanafi Husin.

Khanafi menambah, melayari Virtual Galeri IBS seolah-olah pengunjung telah berada di dalam rumah yang bakal dibina pada masa hadapan dan membantu mereka  memiliki asset yang diingini malah mempunyai peluang memilih pelbagai pakej dan diskaun yang ditawarkan.

“Pengunjung  boleh berhubung terus dengan pautan ke laman sesawang dan  laman sosial media. Setiap hari, Isnin hingga Jumaat pada jam 10 hingga 11 pagi kakitangan bertugas siap sedia menerima panggilan secara bersemuka di dalam talian virtual,” katanya.

Jelas Khanafi lagi, di seksyen yang lain, pengunjung juga berpeluang menyaksikan sendiri banglo-banglo yang telah siap dibina , taburan lokasi pembinaan kediaman di seluruh negara, material IBS yang digunakan seperti Interlocking Bricks, inovasi bumbung gajah yang dicat dua kali termasuk anti kulat,  gentian fiber hibrid dan lebih memahami bagaimana projek pembinaan mampu disiapkan sepantas dua bulan.

“Setiap paparan di galeri maya akan  menjawab persoalan lengkap pengunjung daripada  awal sehingga ke akhirnya untuk pembinaan sebuah banglo,” ujarnya.

Sementara itu Virtual Galeri IBS berasaskan web dan dapat diakses di http://bangloibs.my/virtual/ melalui mana-mana peranti mudah alih atau komputer, tanpa perlu memuat naik apa-apa aplikasi bantuan.

Bersempena dengan pelancarannya, Al Ansar PLT mengadakan kempen jualan 12/12 yang telah bermula sejak 1 Dis hingga esok.

Banyak ganjaran menanti antaranya promosi diskaun hingga RM18,000 kos pembinaan banglo, diskaun tambahan RM2,000 juga percuma kelengkapan rumah bernilai RM15,000.

Antaranya lampu dan kipas, kabinet dapur dan smart televisyen. Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 011 13113403. – MalaysiaGazette