Gambar hiasan

AMSTERDAM – Covid-19 didapati boleh menjangkiti usus serta sistem pernafasan, menurut penyelidikan terbaharu.

Para saintis sebelum ini telah menemukan bahan genetik dari virus yang menyebabkan penyakit ini, atau virus itu sendiri, di dalam usus pesakit – menimbulkan kebimbangan kemungkinan ia dapat dijangkiti melalui najis.

Pihak berkuasa kesihatan China juga mengakui cirit-birit merupakan antara gejala Covid-19.

Bagaimanapun, para saintis tidak pasti sama ada usus boleh dijangkiti dan membiak virus itu di dalam usus.

Tetapi baru-baru ini kajian yang dilakukan penyelidik Belanda dan China menyokong teori tersebut.

Kajian di Belanda, yang diterbitkan dalam majalah Science pada 1 Mei lalu menunjukkan virus baharu itu dapat menjangkiti sel-sel penyerap – yang dikenali sebagai entrosit – yang melapisi permukaan dalaman usus dengan cara yang sama seperti sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS).

Kedua-dua virus ini dapat melekat pada enzim reseptor yang dikenal sebagai ACE2, yang terdapat banyak di dalam sel.

Para penyelidik – dari Institut Hubrecht di Utrecht, Pusat Perubatan Universiti Erasmus di Rotterdam dan Maastricht University – mengembangkan model kultur sel usus untuk melihat bagaimana sel-sel yang melapisi usus bertindak balas terhadap SARS dan koronavirus baharu.

Mereka mendapati dalam tempoh 60 jam jumlah sel yang dijangkiti telah “meningkat secara dramatik”, sementara mekanisme pertahanan virus – yang dikenal sebagai gen yang dirangsang interferon – diaktifkan.

“Pengamatan yang dibuat dalam kajian ini memberikan bukti yang pasti bahawa koronavirus baharu dapat membiak dalam sel-sel saluran gastrointestinal,” kata Bart Haagmans, salah seorang penyelidik utama dari Universiti Erasmus.

“Namun, kita belum tahu apakah koronavirus baharu yang terdapat di usus pesakit Covid-19 memainkan peranan penting dalam penularan.

”Penemuan kami menunjukkan bahawa kita harus melihat kemungkinan ini dengan lebih dekat,” katanya.

Para penyelidik Belanda terkejut apabila mendapati jumlah reseptor ACE2 dalam sel-sel usus membuat sedikit perbezaan dengan kadar mereka dijangkiti – menunjukkan bahawa tahap enzim reseptor yang rendah sekalipun sudah mencukupi untuk virus masuk badan.

Pasukan ini merancang untuk menggunakan kultur sel yang tumbuh dalam makmal untuk memeriksa perbezaan antara jangkitan pada sel usus dan paru-paru – kawasan lain yang kaya dengan ACE2.

Penyelidikan Belanda itu menyusuli dua kajian terbaru oleh penyelidik China di Universiti Sun Yat-sen (SYSU) di Guangdong.

Penyelidik dari Hospital Gabungan Kelima SYSU mendapati daripada sekumpulan 73 pesakit Covid-19, asid ribonukleat (RNA) dari koronavirus terdapat di dalam usus adalah sebanyak 53 peratus.

Sekitar 23 peratus juga memberikan hasil positif setelah sampel pernafasan mereka diuji negatif. – MalaysiaGazette