JIM
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali (kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Bahagian Pengurusan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (empat kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Bahagian Operasi, Mohamad Fauzi Md Isa (tiga kanan) memperkenalkan Visa dan Pass Malaysia yang baharu dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan di Jabatan Imigresen Malaysia, Presint 2, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 02 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA- Jabatan Imigresen Malaysia memperkenalkan Visa Malaysia dan Pas Malaysia baharu menggunakan pelekat bersekuriti tinggi bertaraf dunia dengan cetakan Intaglio berserta cetakan latar belakang berciri keselamatan bagi menggantikan kertas biasa cetakan hitam putih.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, kedua-dua visa dan pas baharu itu lebih sukar untuk dipalsukan berbanding versi lama.

Katanya, penggunaan visa dan pas baharu itu akan bermula sebaik sahaja pelekat sedia ada habis kira-kira dalam tempoh sebulan atau dua lagi.

Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak untuk tidak panik kerana selagi visa atau pas yang dimiliki masih belum tamat tempoh, tiada keperluan untuk seseorang itu untuk menukarnya kepada yang baharu.

“Pelekat baharu ini akan digunakan apabila semua pelekat dalam simpanan kami sudah habis.

“Setakat ini, kami masih ada kira-kira 70,000 pelekat lama dan mengikut kiraan biasa, mungkin ia akan habis dalam bulan November atau Disember.

“Bagi pemegang visa atau pas sedia ada pula, pelekat tersebut masih sah digunakan selagi belum tamat tempoh, tiada keperluan untuk menggantikan dengan pelekat baharu,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Visa Malaysia merupakan kebenaran awal yang diberikan kepada warganegara asing untuk memasuki Malaysia bagi tujuan tertentu manakala Pas Malaysia pula adalah kebenaran kepada warganegara asing untuk memasuki dan menetap sementara di Malaysia dalam tempoh dan tujuan yang dibenarkan seperti lawatan sosial, lawatan rasmi, belajar, bekerja dan sebagainya. – MalaysiaGazette