Antara kawasan tanah hutan simpan Bukit Cherakah yang telah diceroboh di belakang rumah banglo yang telah diubahsuai dijadikan kebun durian haram ketika di Taman Bukit Bayu U10, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DECEMBER 2021.

SHAH ALAM – Di sebalik rumah banglo yang telah diubahsuai di Taman Bukit Bayu U10 di sini, didakwa berlaku pencerobohan tanah hutan simpan bersebelahan Taman Botani Negara Shah Alam bagi tujuan pertanian komersial.

Tanah Hutan Simpan Bukit Cherakah seluas kira-kira setengah ekar yang bersebelahan unit hartanah itu bukan sahaja diceroboh, malah pokok hutan juga turut ditebang sebelum dijadikan kebun durian haram, dipercayai jenis duri hitam atau lebih dikenali sebagai black torn.

Tinjauan MalaysiaGazette di Taman Bukit Bayu U10 hari ini mendapati, tanah hutan terbabit sudah dibersihkan dan kelihatan beberapa pekerja dipercayai warga asing sedang melakukan kerja-kerja penyiraman dipercayai tapak semaian pokok durian.

Terdapat kira-kira enam batas tanah dipenuhi dengan anak benih pokok diletakkan di dalam beg hitam polybag secara tersusun sebelum dipindah dan ditanam di dalam tanah kebun haram terbabit.

Pemandangan dari udara kawasan tanah hutan simpan Bukit Cerakah yang telah diceroboh di belakang rumah banglo yang telah diubahsuai dijadikan kebun durian haram ketika di Taman Bukit Bayu U10, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DECEMBER 2021.

Menurut Persatuan Pemilik dan Penduduk Taman Bukit Bayu U10, pencerobohan tanah hutan simpan itu didakwa dilakukan seorang penduduk sejak tujuh bulan lalu, ketika negara masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pencerobohan hutan simpan ini bermula ketika PKP 2.0 di mana ada pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh, mereka masuk ke dalam hutan sebelah dan menebang pokok hutan.

“Ketika itu kami fikir pekerja warga asing ini daripada pihak pemaju, sebab ada pembinaan perumahan lain bersebelahan Taman Bukit Bayu ini.

“Lama-kelamaan kami menyedari salah seorang penduduk di kawasan ini yang mengupah pekerja asing untuk tebuk tanah, ambil sumber air mineral, masuk hutan, bina pagar dan buat pelbagai tanaman,” kata wakil persatuan itu ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Antara kawasan tanah hutan simpan Bukit Cherakah yang telah diceroboh di belakang rumah banglo yang telah diubahsuai dijadikan kebun durian haram ketika di Taman Bukit Bayu U10, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DECEMBER 2021.

Dalam pada itu, sehingga ke hari ini, pelaku terbabit masih gagal memberi jawapan kepada persatuan penduduk itu susulan pencerobohan itu menggempar semua penghuni di situ.

“Jika pihak bertanggungjawab itu ada kebenaran daripada jabatan-jabatan yang berkaitan dengan perkara ini, dia kena beritahu kita dan tunjuk secara rasmi.

“Saya rasa ini memang tiada apa-apa bukti. Bila kita tanya jabatan, mereka pun tiada rekod mengatakan ada apa-apa permohonan untuk buat aktiviti sebegini.

“Malah kita tiada peluang bersemuka dengan dia dan tanya tentang perbuatan tersebut,” katanya persatuan itu.

Satu surat layang dipercayai daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia yang diedarkan ke setiap peti surat kediaman yang memberi maklumat tentang pencerobohan kawasan tanah hutan simpan Bukit Cerakah di belakang rumah banglo yang telah diubahsuai untuk dijadikan kebun durian haram ketika di Taman Bukit Bayu U10, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DECEMBER 2021.

SURAT LAYANG

Menurut persatuan itu, pencerobohan tersebut hanya disedari penduduk selepas mereka menerima satu surat layang dipercayai daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia yang diedarkan ke setiap peti surat kediaman di situ, baru-baru ini.

“Isu ini timbul selepas kita terima surat layang, sebelum ini kita tak ambil tahu apa yang berlaku di luar pagar kita.

“Bila kita dapat surat sebegini, yang memberi banyak maklumat, kita pun rasa terkejut, bagaimana perkara ini boleh berlaku di belakang rumah saya.

“Sejak insiden itu, kami mula ambil tanggungjawab untuk melindungi hutan, alam sekitar dan hidupan liar di sini yang terjejas ekosistemnya.

“Baru-baru ini haiwan liar seperti ular dan monyet masuk ke dalam kawasan kejiranan kita sebab habitat mereka sudah diganggu,” katanya.

Persatuan itu tidak menolak kemungkinan aktiviti pertanian haram dalam kawasan hutan simpan itu boleh menjejaskan kestabilan tanah susulan banyak pokok berusia puluhan tahun ditebang tanpa rasa tanggungjawab.

“Pokok-pokok hutan ini adalah punca kestabilan tanah, apabila pokok ini ditebang sesuka hati, akar pokok tidak lagi mengikat tanah lalu boleh menyebabkan hakisan tanah dan kejadian tanah runtuh,” katanya.

Memandangkan sekitar Taman Bukit Bayu mempunyai laluan trek pendaki, orang ramai dari luar antara yang terawal melaporkan aktiviti pencerobohan tanah hutan di situ.

“Di sini ada laluan ke Bukit Sapu Tangan dan ada empangan di belakang hutan simpan ini.

“Salah seorang pendaki itu mungkin nampak aktiviti sebegini daripada pihak tidak bertanggungjawab, jadi dia ambil gambar, lepas itu dia ada buat aduan.

“Mungkin dia tahu kawasan ini ada perumahan, jadi dia hantar surat layang melalui peti surat untuk memberi maklumat tentang penemuan mereka semasa mendaki bukit.

“Dia juga memberi nombor rujukan kepada agensi kerajaan yang telah dipanjangkan isu ini,” jelasnya.

Antara pokok-pokok yang ditebang di belakang rumah banglo yang telah diubahsuai untuk dijadikan kebun durian haram ketika di Taman Bukit Bayu U10, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DECEMBER 2021.

Sebelum ini juga, pihaknya didatangi pegawai dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Jabatan Mineral dan Geosains Selangor untuk mendapatkan gambaran sebenar kerja-kerja pembersihan hutan berdekatan.

“Sebenarnya pihak berkuasa datang, ambil gambar dan tanya kita apa aktiviti yang berlaku di sana.

“Cuma kami ada maklumkan memang ada orang masuk dalam kawasan hutan dan buat aktiviti pembersihan tanah untuk pertanian,” katanya.

Menurut persatuan, memandangkan tiada lagi aduan mahupun laporan secara rasmi dibuat penduduk terlibat, maka tiada tindakan dapat diambil setakat ini.

“Kita diberitahu tiada orang tampil untuk buat aduan secara rasmi.

“Aduan secara surat layang tidak akan diambil sebagai aduan rasmi.

ELAK TANAH RUNTUH BERULANG

Katanya lagi, sekiranya pihak kuasa masih gagal bertindak, insiden tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa dan Taman Melawati boleh berlaku kepada penghuni Taman Bukit Bayu U10 itu.

“Rumah saya terletak di sebelah cerun bukit, bila aktiviti pembersihan hutan berlaku dengan rancak, saya sendiri takut dan bimbang.

“Ada kemungkinan tanah runtuh boleh berlaku, sebab kita boleh tengok kes seperti ini di Cameron Highlands, Bukit Antarabangsa dan Taman Melawati.

“Kita nak elakkan sebelum perkara ini berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette