Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie
KUALA LUMPUR – Wanita MCA mendesak Datuk S.Ambiga memberi penjelasan mengenai dakwaan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown mengaitkan beliau berhubung isu pemimpin Pas menerima RM90 juta daripada UMNO.
Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie berkata, sekiranya Ambiga terus berdiam diri, bermakna bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat Malaysia.
“Demi membuktikan kredibiliti dirinya di samping berlaku adil terhadap mangsa tertuduh, Wanita MCA mendesak agar Ambiga tampil dengan kenyataan yang lebih jelas untuk mengesahkan dengan bukti atau menafikan.
“Ambiga kena menjelaskan bahawa beliau adalah individu yang telah mengelirukan Brown tentang adanya transaksi kewangan di antara Perdana Menteri dan pemimpin Pas kerana ia telah menarik perhatian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Brown menamakan Ambiga sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dokumen mahkamah itu telah difailkan berhubung saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Brown pada April lalu.
Dalam saman tersebut, Abdul Hadi mendakwa beliau telah difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk ‘As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connection’ bertarikh 6 Ogos 2016.
Seai Kie juga berkata, keengganan Ambiga menjernihkan keadaan juga menunjukkan beliau menggunakan pengetahuannya sebagai peguam untuk menyembunyikan perbualannya dengan Brown hingga wujud fitnah tersebut.
“Jika dakwaan pembayaran itu berlaku, bukankah Ambiga sepatutnya berterus-terang dan mengemukakan bukti atau segera membersihkan namanya jika kenyataan Brown merupakan fitnah?” soalnya.
Beliau berkata, sikap Ambiga itu juga bertentangan dengan prinsip ketelusan yang sentiasa dilaungkannya dalam setiap perhimpunan Bersih yang dianjurkannya.
“Sikap Ambiga amatlah mencurigakan kerana ia bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkannya selama ini. Apakah Ambiga memegang prinsip yang berbeza untuk dirinya berbanding dengan orang lain?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette.