Mike Pompeo. foto Agensi

WASHINGTON – Mike Pompeo berharap kedua-dua Korea Utara dan Amerika Syarikat “menjadi lebih kreatif” ketika kedua-dua pihak memulakan rundingan yang bertujuan menamatkan program senjata nuklear Pyongyang.

Namun, ketika bercakap dalam wawancara radio pada “The Sean Hannity Show,” Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu tidak pula mengatakan bila rundingan akan disambung semula.

Tetapi, pada akhir bulan Jun lalu, Pompeo berkata, rundingan tersebut mungkin akan berlaku “pada bulan Julai … mungkin dalam dua atau tiga minggu akan datang.”

Presiden Donald Trump telah bertemu dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bulan lepas.

Semasa pertemuan itu, Trump bersetuju untuk memulakan rundingan semula pada peringkat kerja.

Trump dan Kim telah bertemu tiga kali dan mengadakan dua kali pertemuan berhubung isu nuklear.

Perbincangan di Hanoi pada bulan Februari lalu berakhir tanpa persetujuan selepas Amerika Syarikat mahu Korea Utara menghapuskan sepenuhnya senjata nuklear dan Korea Utara pula menuntut sekatan ke atasnya ditarik balik.

“Saya berharap Korea Utara datang ke meja rundingan dengan idea-idea, bukan umpama rundingan kali pertama. Kami berharap Pyongyang menjadi lebih kreatif lagi,” ujarnya.

Pada masa sama, Pompeo memberi bayangan bahawa misi Trump tidak berubah – menghapuskan senjata nuklear sepenuhnya.

“Itulah misi yang ditetapkan untuk rundingan ini,” katanya.

Washington menuntut agar Pyongyang melepaskan senjata nuklear secara unilateral dan pegawai Amerika Syarikat menyatakan dasar sekatan Amerika Syarikat terhadap Korea Utara kekal sehingga ia menghentikan senjata nuklearnya.- MalaysiaGazette