Orang ramai beratur menaiki kereta api untuk keluar dari bandar Wuhan selepas sekatan perjalanan ditarik balik. foto Agensi

BEIJING – Penduduk dibenarkan keluar dari bandar Wuhan buat kali pertama sejak ia melaksanakan sekatan perjalanan selama 76 hari lalu bagi membendung novel koronavirus meskipun kebimbangan berlaku gelombang kedua.

China telah mengadakan sekatan ke atas bandar yang memiliki 11 juta penduduk pada 23 Januari selepas virus seakan selsema dikesan di bandar ini pada akhir tahun lalu.

Kereta api pertama yang membawa penumpang berlepas dari bandar itu pada jam 12.50 malam (1650 GMT) dan lebuh-lebuh raya dibuka semula pada masa sama.

“Wuhan menarik balik sekatan” menjadi topik trending di Weibo, platform seperti Twitter dengan kebanyakan komen menyebut “Selamat Kembali Wuhan”.

Berdasarkan jualan tiket, seramai 55,000 orang akan meninggalkan Wuhan dengan menaiki kereta api pada hari Rabu, menurut media CCTV yang memetik jurucakap syarikat kereta api.

Lebih daripada 50,000 orang dijangkiti virus berkenaan di Wuhan dan jumlah kes kematian di bandar tersebut mencecah 2,571, kira-kira 80% kematian di China.

Sekatan perjalanan yang dilaksanakan menyebabkan bandar yang sibuk ini bertukar seperti ‘bandar hantu’ apabila semua penduduk tinggal di dalam rumah, sistem pengangkutan dan hab industri disekat daripada beroperasi.

Yang kelihatan hanya kenderaan polis dan kecemasan sahaja.

Meskipun Wuhan telah dibuka semula tetapi kebebasan penduduk-penduduknya masih dihadkan berikutan kebimbangan kes-kes jangkitan yang diimport dan individu yang positif koronavirus tetapi tidak menunjukkan simptom.

Pembawa-pembawa virus ini masih menjadi kebimbangan besar.

Sehubungan itu penduduk Wuhan diminta untuk tidak meninggalkan kediaman masing-masing kecuali ada keperluan untuk berbuat demikian.- MalaysiaGazette