Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Seminar Antarabangsa Nilai Keagamaan Dalam Mencegah Ekstremisme Ganas di Dewan Senate, UIAM, Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 OGOS 2019

GOMBAK – Pemegang taraf penduduk tetap (PR), Dr Zakir Naik tidak terlepas daripada sebarang tindakan mahkamah sekiranya penceramah antarabangsa itu melanggar undang-undang di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, status PR yang dianugerahkan kepada Zakir tidak boleh dijadikan tiket untuk melanggari peraturan di Malaysia khususnya perbuatan menjejaskan keharmonian di antara kaum di negara ini.

“Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang, sama ada warganegara Malaysia mahupun PR.

“Dia tak boleh melanggar tata etika dan dan undang-undang, tiada siapa boleh mengatasi undang-undang.

“Zakir Naik ke Zakir turun ke… sama saja, bukan kerana kita tak hormat, jangan salah faham.

“Ada masyarakat Islam kata nak mempertahankan dia, betul dia seorang penceramah dan tokoh agama tapi kadangkala bila dia menyentuh isu tertentu macam sekarang, kita tak boleh biarkan juga,” katanya pada sidang media di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.

Khamis lalu, Zakir dipanggil ke Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk diambil keterangan untuk kali ketiga susulan dua aduan diterima terhadap pendakwah terkenal berkenaan.

Satu aduan berhubung video ceramah beliau menyatakan penganut Hindu tidak menyokong Perdana Menteri Malaysia sebaliknya menyokong Perdana Menteri India.

Aduan kedua mengenai kenyataan Zakir yang meminta kaum Cina untuk keluar dari Malaysia yang dilaporkan sebuah portal berita.

Muhyiddin juga menegaskan, walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Zakir, namun apabila beliau menyentuh sensitiviti kaum, pihaknya tidak boleh berdiam diri.

“Kalau dengan sebab itu tercetus keadaan ketidakstabilan, rasa tak puas hati yang merebak meluas disebabkan oleh tutur bahasa dan sebagainya digunakan.

“Adakah kita akan berdiam diri, saya tak fikir juga, tidak bermakna kita tak hormat, ada batasan yang perlu dia patuh sama ada PR apatah lagi warganegara Malaysia dia tak terkecuali.

“Dia tak boleh mengatasi undang-undang yang ada, itu sikap yang kita ambil dalam menguruskan isu keselamatan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata setakat ini, beliau belum menerima sebarang laporan daripada pihak polis berhubung siasatan ke atas Zakir.

“Saya belum dapat laporan lengkap daripada pihak polis sama ada mereka sudah selesai siasatan berdasarkan beberapa laporan polis yang telah dibuat terhadap beliau.

“Selepas itu, maka pihak polis biasanya mengemukakan laporan berkenaan kepada pihak peguam negara.

“Jadi saya belum dapat dimaklumkan sama ada sudah selesai (siasatan) atau tidak. Tapi apapun sudah dijalankan siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette