Home Dunia Zoo diserang, pengarah diculik

Zoo diserang, pengarah diculik

Pintu masuk ke Zoo Ogba di Nigeria

NIGERIA – Tiga anggota polis telah dibunuh oleh lelaki bersenjata yang menyerang sebuah zoo di Edo, di barat tengah Nigeria.

Penjenayah-penjenayah itu turut menculik pengarah zoo tersebut selepas mereka menyerang Zoo Ogba dan Taman Alam yang seluas 750 ekar.

Menteri Penerangan dan Kebudayaan, Lai Mohammed mengutuk serangan itu yang disifatkan sebagai tamparan besar dalam usaha mempromosikan pelancongan kerana zoo tersebut adalah salah satu destinasi pelancongan utama Nigeria.

Menurut jurucakap polis, kejadian itu berlaku pada hari Ahad semasa terdapat lebih daripada 200 orang pengunjung zoo.

Tiada maklumat mengenai siapa lelaki-lelaki bersenjata dan penculik itu atau sama ada mereka telah membuat apa-apa tuntutan.

Lai menyeru penculik pengarah zoo tersebut, Andy Ehanire dibebaskan dengan selamat. – MalaysiaGazette