PULAU PINANG – Pasangan suami isteri yang disyaki mendera bayi perempuan mereka berusia dua bulan sehingga meninggal dunia di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam semalam direman selama seminggu hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Nor Hapipah Abdullah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini pagi ini.
Terdahulu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 tahun berkenaan tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, suami isteri itu ditahan semalam selepas hadri memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini.
“Bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu ditahan petang semalam sebelum isterinya ditahan malam tadi ketika hadir memberi keterangan kepada polis.
“Kes ini disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian malam kelmarin, bayi perempuan itu didakwa ibu bapa mereka berada dalam lemah dan enggan meminum susu sebelum dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran.
Bagaimanapun anak bongsu daripada dua beradik itu disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
Difahamkan, siasatan awal pakar perubatan mendapati mangsa patah tulang paha kiri, tangan kanan serta luka lebam pada kepala dan leher.
Sementara itu, polis turut mengesahkan keputusan ujian saringan air kencing terhadap pasangan suami isteri berkenaan negatif dadah.- MalaysiaGazette
Bayi perempuan 2 bulan maut dipercayai didera
[…] Ibu bapa bayi mati disyaki didera direman […]