Noh Omar

KUALA SELANGOR – Barisan Nasional (BN) akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada sesiapa sahaja yang dinamakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya BN berjaya memerintah Selangor.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar meletakkan keyakinan tinggi kepada Najib dalam menentukan mana-mana calon yang layak untuk menggalas jawatan penting itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Siapa pun saya beri sokongan dan saya percaya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri tentukan siapa calon layak jadi Menteri Besar jika BN menang di Selangor,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Gelombang Nelayan Nasional Selangor 2018 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim bergambar bersama masyarakat nelayan dari seluruh Selangor progrram Gelombang Nelayan Nasional Selangor 2018 di Kompleks LKIM, Kuala Selangor, hari ini.

Beliau mengulas desas-desus mengatakan Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal calon Menteri Besar Selangor.

Isham dikatakan akan diletakkan di kerusi N38 Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Isham juga didakwa akan berentap dengan penyandang kerusi N38 dari Pas  Mohd Khairuddin Othman yang mengalahkan calon BN, Muhammad Bushro Mat Johor dengan majoriti 5,522 undi pada PRU-13.

Kelayakan Isham selaku graduan Universiti Harvard antara ciri-ciri yang dikenal pasti memberi kelebihan kepada bertanding di Selangor dan menyaingi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Paya Jaras menjadi DUN pilihan BN kerana kerusi N38 itu terletak dalam kawasan Parlimen Subang dan mempunyai seramai 43,617 pengundi di mana 57 peratus daripadanya adalah Melayu, Cina-30 peratus, India-11 peratus dan lain-lain dua peratus. – MalaysiaGazette

Isham layak jadi MB Selangor – Jamal