Calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut bersama Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menunjukkan risalah manifesto pada Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Pekan Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut mengumumkan lima teras utama dalam manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Khairul Azhari yang juga pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor berkata, manifestonya itu bertemakan ‘Demi Rakyat Kuala Kubu Baharu, Khairul Komited Berkhidmat’ yang berteraskan kepada menuntut pembangunan berkualiti dan mampan buat warga Kuala Kubu Baharu.

“Menerusi teras pertama ini, saya mahu merancakkan pembangunan infrastruktur dan prasarana asas masyarakat dengan menjadi suara dan jambatan rakyat.

“Kita adalah jambatan kepada rakyat. Setiap aduan akan diterima terutama rakyat setempat,” katanya dalam sesi pelancaran manifesto dan townhall bersama warga Kuala Kubu Baharu, petang tadi.

Calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut menunjukkan risalah manifesto pada Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Pekan Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2024.

Dalam pada itu, Khairul Azhari berkata, teras kedua adalah berpaksikan kepada jaminan kelestarian alam dan persekitaran hijau.

“Saya dan pasukan akan menyediakan ‘blueprint’ untuk pembangunan Kuala Kubu Baharu yang lestari bagi mengekalkan kehijauan alam semula jadi dan persekitaran yang bersih.

“Sebagai orang yang mewakili Kuala Kubu Baharu, saya perlu mengekalkan kelestarian dan kehijauan untuk masa depan baik untuk negara,” katanya.

Dalam manifesto tersebut, Khairul Azhari turut menggariskan teras ketiga iaitu untuk memperkasa ekonomi setempat dengan membangunkan sebuah pusat khidmat untuk menjadi penghubung dan pemain industri.

“Melalui teras ketiga ini, kita akan menyediakan sebuah platform dalam talian untuk mempromosikan dan menjadi ejen pemasaran produk tempatan,” jelas beliau lagi.

Beliau berkata, teras keempat dalam manifestonya adalah menggembleng potensi generasi muda dan wanita progresif.

“Ia melalui menaiktaraf kemudahan sukan, rekreasi dan fasiliti awam. Kita juga mahu melipatgandakan program pemerkasaan anak muda dan wanita khususnya dalam bidang sukan dan sosioekonomi,” katanya.

Teras terakhir adalah membela masyarakat minoriti dengan mendesak penubuhan perkampungan Orang Asli diiktiraf dan dimartabatkan dengan kemudahan asas yang berkualiti dan selamat.

Dalam pada itu, Khairul Azhari turut menjelaskan mengapa pengumuman manifestonya dibuat lewat.

“Kenapa manifesto kita agak terlewat sedikit berbanding pihak lain? Pastinya, apabila kita buat program menyantuni masyarakat, kita nak pastikan manifesto ini ada kena mengena dengan keluhan rakyat di bawah.

“Bukan kita syok sendiri buat manifesto, tetapi kita tak boleh lakukannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette