Datuk Baljit Singh

KUALA LUMPUR – Gerakan mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang terlibat dalam kes ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan menggesa kerajaan memandang serius isu keselamatan awam.

Menurut Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh, siasatan dan pendakwaan terhadap pihak terbabit perlulah disegerakan untuk menjamin keselamatan pemimpin DAP itu.

“Biar pun berbeza pandangan politik, kami yakin tiada parti di Malaysia menyokong perbuatan jenayah yang boleh menggugat keharmonian kaum.

“Semoga beliau mendapat perlindungan yang tersedia di bawah undang-undang memandangkan kes keganasan makin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

“Kami menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengaktifkan segala langkah keselamatan yang sedia ada dan menjalankan siasatan serta kajian terperinci terhadap aspek keselamatan di Malaysia kini,” katanya dalam kenyataan.

Baljit juga meluahkan kerisauan tentang keselamatan masyarakat berikutan serangan-serangan yang terjadi di balai polis baru-baru ini.

“Di mana rakyat boleh mendapatkan perlindungan sekiranya balai polis juga tidak selamat,” tambahnya.

Gerakan berharap perkara itu dapat ditangani dengan kadar segera kerana isu keselamatan awam turut memberi kesan kepada industri perlancongan negara.

“Kami menyeru seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat untuk memikul tanggungjawab ini demi memastikan negara dapat terus mengecapi nikmat keamanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette