KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah Subhanahu Wata’ala dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh, titah baginda menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Allahyarhamah berusia 100 tahun dan dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.20 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN).
Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Allahyarhamah antara wanita Melayu terawal bergelar doktor perubatan dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam. – MalaysiaGazette
















