KUALA LUMPUR: Kerugian UiTM Holdings Group seperti dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan kerugian baharu di bawah kepimpinan semasa.
Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, angka sekitar RM157 juta telah dilaporkan sejak 2023 dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika itu menjelaskan ia merupakan kerugian terkumpul sehingga kini (semenjak 2007).
Menurutnya, isu itu turut diteliti melalui Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2022 dan prosiding PAC sebelum Laporan PAC dibentangkan pada 2024.
“Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh menerajui pengurusan UiTM Holdings sejak Januari 2025, dengan pengalaman pernah menerajui Malaysia Airports, KPJ Healthcare serta memegang posisi penting dalam beberapa GLC dan organisasi korporat utama.
“Saya pula mengambil amanah sebagai Pengerusi pada Ogos 2025. Bersama Lembaga Pengarah dan pengurusan, mandat kami jelas: memulihkan prestasi, memperkukuh tadbir urus, membina semula keyakinan dan meletakkan UiTM Holdings kembali pada landasan pertumbuhan.
“Kami tidak menggunakan legacy issues sebagai alasan. Kami mengenal pasti legasi tersebut untuk menyelesaikannya,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sehubungan itu, Fathul Bari yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM atau LPU berharap isu tersebut tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak, daripada mana-mana parti sekalipun.
Katanya, ia bukan isu politik, tetapi isu pemulihan sebuah aset milik universiti.
“Jika UiTM Holdings kukuh, nilai akhirnya kembali kepada UiTM. Jika ia terus lemah, UiTM juga menerima kesannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan kepada Perdana Menteri, khususnya sebagai Menteri Kewangan, meneliti satu kerangka nasional supaya syarikat pegangan dan anak syarikat universiti diberikan First Right of Refusal (FROR) bagi peluang perniagaan yang bersesuaian dalam ekosistem universiti masing-masing; tertakluk sepenuhnya kepada merit, due diligence, daya saing dan tadbir urus.
“Bukan projek percuma. Bukan monopoli. Tetapi peluang pertama untuk bersaing dan dinilai secara profesional,” katanya.
“Jika syarikat universiti mampu melaksanakannya secara kompetitif, adalah lebih strategik sekiranya nilai ekonomi tersebut kekal dalam ekosistem universiti.
“Keuntungan anak syarikat universiti akhirnya harus kembali memperkukuhkan universiti,” katanya.
Terdahulu, Anwar hari ini mengarahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalankan semakan terhadap tadbir urus dan pengurusan UiTM Holdings susulan kebimbangan berhubung kerugian dialami syarikat itu.
Tegas Perdana Menteri, semakan itu perlu dijalankan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM dan Jabatan Perdana Menteri, yang akan memberikan sokongan sekiranya diperlukan. – MalaysiaGazette
















