Ketua Sekretariat Taat Setia dan Sokong DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11, Prof Dr Mohd Aluwi Sari menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi segera menyelesaikan krisis istana, di Wisma Negeri, Seremban. Foto SADIQ SANI, 25 SEPTEMBER 2026.

SEREMBAN – Sekretariat Taat Setia dan Sokong DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 menggesa Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar menarik diri daripada sebarang usaha untuk diangkat sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12.

Ketuanya, Prof. Dr Mohd Aluwi Sari menegaskan, kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 adalah sah.

“Kami memohon agar Tunku Nasaruddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar menarik diri daripada diangkat sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 oleh Undang Luak Yang Empat.

“Ia bagi mengelakkan kemelut adat dan Institusi Diraja Negeri Sembilan ini dapat dihentikan segera,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan memorandum rasmi sekretariat itu kepada pegawai khas kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim di hadapan Wisma Negeri, kira-kira jam 10.40 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Taat Setia dan Sokong DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11, Prof Dr Mohd Aluwi Sari bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi segera menyelesaikan krisis istana, di Wisma Negeri, Seremban. Foto SADIQ SANI, 25 SEPTEMBER 2026.

Mohd Aluwi juga berkata, sekretariat itu meminta Tunku Nasaruddin tidak diangkat sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 bagi menoktahkan kemelut yang sedang melanda negeri berkenaan.

“Pendirian berkenaan bukan bertujuan mengambil alih bidang kuasa mana-mana mahkamah, Dewan Keadilan dan Undang, istana atau pihak berkuasa berkaitan.

“Sebaliknya, sekretariat meminta semua persoalan berkaitan kedudukan takhta, Undang Yang Empat dan Proklamasi bertarikh 3 Ogos 2026 diselesaikan melalui undang-undang, adat dan saluran yang sah,” katanya.

Beliau berkata, antara tuntutan sekretariat itu ialah naskhah asal atau salinan diperakui proklamasi berkenaan diperoleh dan diteliti dari sudut asas perundangan, bidang kuasa setiap penandatangan serta proses adat yang menjadi asas kepada dokumen berkenaan.

Sekretariat turut meminta Penasihat Undang-Undang Negeri memberikan pandangan bertulis mengenai kesahan proklamasi tersebut.

“Sekiranya didapati terdapat kecacatan bidang kuasa, kecacatan proses atau persoalan kesahan material, tindakan sewajarnya hendaklah diambil untuk menarik balik, membatalkan atau menggantung pelaksanaan dokumen tersebut melalui saluran yang sah,” katanya.

Sekretariat juga katanya, menggesa Kerajaan Negeri mendapatkan pengesahan bertulis daripada Dewan Keadilan dan Undang mengenai kedudukan serta bidang kuasa pihak yang terlibat.

“Malah, semua keputusan Anak Waris yang didakwa berlaku pada 13 Mei 2025 dan 31 Mei 2023 berkaitan kedudukan Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Jelebu diminta disemak semula berdasarkan dokumen asal serta proses adat yang berkaitan,” katanya.

Dalam memorandum itu, sekretariat turut membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Undang Luak Rembau Ke-22, khususnya berkaitan Tanah Telapak Pusaka, waris suku isteri, kedudukan telapak di Luak Rembau, Kanun Adat Luak Rembau, proses penzahiran serta pengesahan adat.

“Perkara itu perlu dibezakan antara dakwaan pihak tertentu dengan keputusan rasmi yang telah mempunyai kesan undang-undang,” jelasnya.

Dalam masa sama, sekretariat meminta Menteri Besar memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri tidak mengambil tindakan muktamad berasaskan proklamasi 3 Ogos 2026 selagi persoalan kesahan dan bidang kuasa belum diselesaikan.

Sekretariat turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Semakan Khas Undang-Undang dan Adat yang membabitkan Penasihat Undang-Undang Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, wakil Dewan Keadilan dan Undang, pakar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta pakar Adat Perpatih.

“Jawatankuasa itu perlu menentukan secara bertulis siapakah yang mempunyai bidang kuasa, apakah proses yang sah dan apakah status undang-undang proklamasi bertarikh 3 Ogos 2026,” katanya.

Katanya, sekretariat turut merujuk Fasal 7, 10, 11, 14, 16, 28, 32 dan 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta Perkara 71, 160 dan 181 Perlembagaan Persekutuan sebagai antara asas yang perlu diteliti.

“Fasal 32 yang menyentuh aturan dan adat Negeri Sembilan tidak boleh ditafsirkan sebagai memberikan kuasa tanpa had kepada mana-mana pihak.

“Sebaliknya adat yang digunakan perlu dipastikan tidak bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam konteks pentadbiran semasa, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos 2026.

“Sehubungan itu, sekretariat meminta Ismail menjunjung amanah jawatan serta memastikan segala tindakan Kerajaan Negeri berhubung Institusi Diraja dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang dan tatacara yang sah,” katanya.

Selain itu, jelasnya, tujuan memorandum itu bukan untuk menentukan terlebih dahulu pihak mana yang benar atau salah, sebaliknya memastikan setiap keputusan mengenai Takhta, Institusi Diraja, Undang Yang Empat dan Kerajaan Negeri dibuat berdasarkan peruntukan, proses serta bidang kuasa yang sah.

“Prinsip yang hendak dipelihara bukanlah kemenangan mana-mana individu atau kumpulan, tetapi keluhuran Institusi Diraja, maruah adat, kepastian undang-undang dan keharmonian rakyat Negeri Sembilan,” menurut memorandum itu.

Sekretariat turut memberi amaran kegagalan memberikan penjelasan rasmi boleh mencetuskan kekeliruan rakyat mengenai kedudukan Institusi Diraja, pertikaian kedudukan Undang, pertindihan dakwaan bidang kuasa, ketegangan antara institusi adat serta ketidakpastian pentadbiran.

“Berasaskan undang-undang, berteraskan adat, berpegang kepada perlembagaan, menghormati institusi diraja dan menjaga perpaduan rakyat,” katanya lagi – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here