KUALA LUMPUR – Pertindihan kenyataan rasmi dan geseran dasar awam antara kementerian utama terus menimbulkan persoalan serius berhubung tahap penyelarasan pentadbiran dalam Kerajaan Perpaduan.
Insiden terbaharu menyaksikan Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan pemansuhan syarat ekuiti Bumiputera 30 peratus bagi institusi pendidikan swasta (IPS) berstatus Syarikat Sendirian Berhad dengan merujuk rundingan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Penjelasan rasmi MITI kemudiannya menafikan sebarang makluman mengenai perkara itu serta menegaskan bahawa dasar ekuiti Bumiputera sebenarnya terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.
Pengerusi Pendidikan UMNO Selangor, Datuk Mohamad Nadzim Ibrahim melihat kecenderungan kementerian teraju PKR mempersoalkan kementerian teraju UMNO secara terbuka sebagai satu langkah politik yang dirancang.
“Mengambil kira jasa dan taat setia perkhidmatan awam Malaysia yang sentiasa berpegang pada prinsip berkecuali, pengumuman dasar secara tergesa-gesa tanpa penyelarasan rapi membayangkan wujudnya arahan atasan yang menjejaskan keandalan serta profesionalisme institusi pentadbiran,” katanya dalam kenyataan.
“Langkah politik yang dirancang bagai menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, setiap kementerian, katanya terutamanya KPM didesak untuk menjadi contoh teladan dalam penyampaian dasar secara profesional dan bebas parti.
Sebarang perubahan unilateral terhadap struktur ekuiti Bumiputera atau pertikaian terbuka mengenai perbelanjaan kementerian berisiko merenggangkan sokongan Rakyat dan menggugat kestabilan koalisi sekali gus menuntut Kerajaan Perpaduan kembali kepada pendekatan yang telus, diselaraskan, dan saling menghormati.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Petaling Jaya, Ahmad Faez Bahari menilai kekhilafan itu bukan sekadar kesilapan teknikal sebaliknya mencerminkan kelemahan struktur dan corak geseran yang semakin nyata.

“Kekurangan penyelarasan antara KPM dan MITI ini menyusuli pertikaian terbuka sebelum ini antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung isu aliran tunai serta siling perbelanjaan projek jalan luar bandar.
“KKDW telah menjelaskan bahawa kelulusan peruntukan ditentukan sepenuhnya oleh MOF dan Kementerian Ekonomi, manakala pelaksanaan teknikal dipikul oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette
















