KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mempersoal tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) sedangkan penjelasan gabungan itu berhubung aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum dinilai.
Parti itu berkata, RoS perlu menjelaskan secara terperinci aturan pertubuhan yang didakwa sedang dilanggar PN serta alasan mengapa semua kegiatan gabungan itu perlu dihentikan serta-merta.
Menurut Pejuang, RoS sebelum ini mengesahkan notis bertarikh 22 September dikeluarkan bagi mendapatkan penjelasan PN berhubung aduan Bersatu dan notis berkenaan bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN.
Namun sehari kemudian, RoS mengeluarkan perintah penggantungan semua kegiatan PN di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.
“Pejuang sebagai salah satu parti komponen PN menuntut jawapan yang jelas: aturan yang mana dikatakan sedang dilanggar? Apakah perbuatan yang masih berterusan?
“Mengapa aduan yang sedang menunggu jawapan PN memerlukan semua kegiatan gabungan dihentikan serta-merta?” soal parti itu dalam kenyataan hari ini.
Pejuang berkata, kenyataan RoS yang meminta orang ramai mengelakkan spekulasi seharusnya disusuli penjelasan terperinci supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Katanya, tindakan menggantung sebuah gabungan politik secara menyeluruh menimbulkan persoalan mengenai asas dan keperluan keputusan berkenaan, khususnya apabila proses mendapatkan penjelasan PN masih berjalan.
“Pejuang tidak mempertikaikan hak mana-mana pihak untuk membuat aduan atau kuasa RoS untuk menyiasatnya. Namun aduan bukan keputusan bersalah.
“RoS perlu menjelaskan mengapa tindakan terhadap seluruh PN diperlukan ketika penjelasan yang dimintanya sendiri belum dinilai,” katanya.
Pejuang turut meminta RoS menjelaskan, bagaimana kepentingan parti-parti komponen PN diambil kira sebelum perintah penggantungan tersebut dikeluarkan.
Pada masa sama, parti itu menggesa Menteri Dalam Negeri menyatakan secara terbuka sama ada beliau atau mana-mana pihak dalam kerajaan pernah mengarahkan atau mempengaruhi tindakan RoS terhadap PN.
Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri bertindak secara bebas terutama apabila sesuatu keputusan memberi kesan langsung kepada persaingan politik negara.
Pejuang turut menuntut RoS memperincikan pelanggaran yang didakwa berlaku, menjelaskan keperluan menggantung semua kegiatan PN serta menarik balik penggantungan sementara penjelasan gabungan itu dipertimbangkan secara adil.
Parti itu juga menyatakan sokongan terhadap tindakan undang-undang yang wajar bagi mencabar perintah penggantungan atau mana-mana perintah lanjutan RoS berhubung perkara berkenaan.
“RoS sudah menjelaskan bahawa PN belum dibatalkan pendaftarannya. Kini, RoS mesti menjelaskan mengapa PN perlu dilumpuhkan sebelum proses itu selesai.
“Jika tindakan ini benar-benar berasaskan undang-undang dan bukti, bentangkan alasannya. Jangan minta rakyat percaya begitu sahaja ketika hak sebuah gabungan pembangkang sedang disekat,” katanya.
Pejuang turut mengaitkan tindakan penggantungan itu dengan perkembangan politik semasa termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Parti itu mendakwa, tindakan RoS berlaku ketika PN menerima sokongan rakyat dan pada masa sama mendakwa sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin menipis.
Pejuang berkata, perkembangan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijawab secara terbuka oleh RoS. – MalaysiaGazette
















