KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching perlu memberi penjelasan berhubung tindakan tergesa-gesa mengaitkan pemansuhan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera bagi institusi pendidikan swasta sebagai bukti ‘kehadiran bermakna DAP dalam Kabinet’.
Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen mendakwa kenyataan itu dibuat sebelum kerajaan memperincikan pihak berkuasa yang bertanggungjawab, prosedur dasar serta mekanisme pelaksanaan berhubung perubahan tersebut.
Menurutnya, pada 21 September lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mendakwa pihaknya telah membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan bersetuju syarat 30 peratus berkenaan tidak lagi terpakai.
“Namun, pada keesokan harinya MITI menyatakan pihaknya ‘tiada maklumat berhubung perkara ini’, selain menjelaskan bahawa dasar ekuiti bumiputera berada di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Ekonomi.
“Ini bukan sekadar kelemahan komunikasi, sebaliknya menunjukkan kegagalan dalam penyelarasan asas kerajaan, dengan bidang kuasa yang tidak jelas, kenyataan bercanggah dan pengumuman dasar yang dibuat seolah-olah mendahului proses membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jie Sen berkata, sekiranya DAP benar-benar menjadi penggerak kepada reformasi berkenaan, Nie Ching perlu menjelaskan beberapa perkara, termasuk sama ada Kabinet telah meluluskan secara rasmi pemansuhan syarat tersebut.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Kementerian Ekonomi dan EPU telah bersetuju dengan perubahan berkenaan serta dokumen dasar, garis panduan atau undang-undang yang telah dipinda.
“Bilakah langkah baharu itu akan berkuat kuasa dan kategori institusi pendidikan swasta mana yang akan terlibat?
“Selain itu, mengapa KPM menyatakan perkara itu telah dibincangkan dengan MITI sedangkan MITI pula mengatakan pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenainya?” soalnya.
Jie Sen mendakwa Pakatan Harapan (PH) semakin terperangkap dalam gaya pentadbiran ‘umum dahulu, terangkan kemudian’.
Katanya, pengumuman politik tidak boleh menggantikan keputusan Kabinet, penyelarasan antara kementerian atau prosedur pelaksanaan yang lengkap.
“Semakan terhadap dasar lapuk yang menghalang kemajuan pendidikan sememangnya dialu-alukan, namun reformasi sebenar memerlukan kuasa yang sah, ketelusan dan pelaksanaan yang diselaraskan, bukannya tuntutan kredit politik sebelum jentera dasar bersedia.
“KPM, Kementerian Ekonomi dan MITI kini perlu memberikan penjelasan bersama.
“Jika DAP layak menerima kredit, kemukakan keputusan Kabinet dan dokumen dasar rasmi. Rakyat Malaysia mahukan reformasi yang dilaksanakan, bukan ‘reformasi berasaskan kenyataan’,” katanya. – MalaysiaGazette
















