SEREMBAN – Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan memasuki perkembangan baharu apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas MMKN yang diadakan hari ini.
Menurutnya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas SUK sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Sementara itu, tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan peguam bela dan peguam cara, Fahmi Adilah sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Seterusnya, notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri, Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail pada masa sama menegaskan semua jawatan Ahli MMKN masih kekal dan sah.
“Saya juga mengesahkan bahawa semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) adalah masih kekal dan sah.
“Pada masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika kedudukan pentadbiran negeri menjadi pertikaian susulan keputusan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan anggota MMKN.
Ismail sebelum ini mempertikaikan tindakan tersebut dan menegaskan barisan MMKN sedia ada masih sah serta akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
Hari ini, anggota MMKN dilaporkan hadir ke pejabat masing-masing dan meneruskan tugas seperti biasa.
Keputusan menggantung dua pegawai kanan pentadbiran negeri itu kini dijangka mencetuskan perhatian terhadap kedudukan pentadbiran Negeri Sembilan serta tindakan susulan pihak berkuasa Persekutuan yang berkaitan. – MalaysiaGazette
















