Foto: FB Jabatan Penerangan Negeri Sembilan.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam ini, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.

Beliau berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Ahli-ahli berkenaan telah masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

“Mereka telah berikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia dan kepada Institusi Diraja, bersumpah melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan, serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

“Mereka telah memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 Sept. Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia telah menarik balik perkenan Baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta.

“Setiap individu berkenaan telah dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut melalui warkah,” katanya dalam kenyataan itu.

Berikutan itu, Azizi berkata Menteri Besar Datuk Ismail Lasim perlu mempersembahkan senarai calon Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Tuanku Muhriz menjangkakan Menteri Besar memastikan pentadbiran Negeri Sembilan diteruskan tanpa apa jua gangguan dan halangan menurut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, dan supaya kepentingan rakyat sentiasa terpelihara,”  katanya.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang dilantik pada Ogos lepas ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah), Datuk Mustapha Nagoor (Pembangunan Belia dan Sukan), Datuk Zaifulbahri Idris (Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan), Siow Kong Choon (Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam), Siti Nur Umaira Hasim (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Mohd Asna Amin (Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup), Suhaimizan Bizar (Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)), Mohd Fairuz Mohd Isa (Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Razali Abu Samah (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here