Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Hi tea Reunion Perintis Reformais di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2026.

SHAH ALAM – Semua banduan termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keputusan akhir berhubung rayuan itu terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, justeru keputusannya perlu dihormati.

“Setiap banduan berhak mengemukakan (rayuan) dan saya tetap pertahan hak itu kepada sesiapa pun termasuk Datuk Seri Najib ada hak untuk mengemukakan rayuannya untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong.

“Lembaga Pengampunan harus menilai, kalau di Kerajaan Persekutuan ada nasihat dari Perdana Menteri, ada nasihat daripada Peguam Negara dan sebaiknya dengar nasihat itu tetapi keputusan dimuktamadkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini, petang ini.

Turut hadir isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar berkata, meskipun Perdana Menteri boleh memberikan nasihat  mengenai kesan sesuatu keputusan, namun ia tidak bermakna proses pengampunan di bawah pengaruhnya.

“Harus faham bidang kuasa walaupun dalam banyak hal nasihat Perdana Menteri harus diambil kira tetapi dalam kes pengampunan dan penganugerahan pingat itu budi bicara Raja Negeri atau Agong.

“Apakah nasihat saya itu ke arah keputusan? Tidak. Saya tetap mengingatkan tentang kes yang masih berjalan, saya tetap mengingatkan bahawa denda itu terlalu besar, saya tetap mengingatkan bahawa kesannya kepada keyakinan rakyat terhadap sistem dan pandangan antarabangsa itu harus diberikan perhatian,” katanya.

Sementara itu, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa keputusan pengampunan berkenaan tidak menghalang kerajaan daripada meneruskan kes yang masih berjalan di mahkamah, termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes sivil.

Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat pada Jumaat lalu membuat keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman sebagai tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat lain.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here