MELAKA – Kerajaan negeri Melaka tidak akan sesekali mengizinkan mana-mana pihak yang mahu memindahkan Kem Sungai Udang ke lokasi lain.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan, kewujudan Kem Sungai Udang yang turut dikenali sebagai Kem Komando sudah begitu sinonim dengan negeri berkenaan.
“Saya tidak izinkan walaupun seinci bumi gerak khas ini keluar pada bumi Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Keluarga Rejimen Gerak Khas, Kem Sungai Udang hari ini
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Panglima 21 Gerup Gerak Khas, Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.
Menurut Ab Rauf, Kem Sungai Udang tidak boleh digantikan dengan kem lain di negara ini.
“Pastinya kem gerak khas ini tidak boleh digalang ganti dengan kem lain selagi saya mengurus tadbir negeri Melaka. Jadi kita kekal di Melaka,” katanya.

Atas hubungan erat yang terjalin, ujarnya, kerajaan negeri melantik empat pegawai tentera Kem Sungai Udang menjadi Ahli Majlis Pihak berkuasa tempatan (PBT).
Jelasnya, langkah itu bertujuan memberi pendedahan kepada pegawai tentera mengenai pentadbiran awam, selain membolehkan kerajaan negeri memahami bentuk bantuan yang boleh disalurkan pihak keselamatan.
“Saya tak nak peranan kerajaan anggota tentera terpisah oleh tembok protokol. Jadi saya bawa mereka masuk supaya tahu bagaimana kita menguruskan masyarakat di luar.
“Dan peranan tentera boleh membantu kita memajukan rakyat dalam kaedah sudut pandang Yang berbeza.
Menurut beliau, pendekatan itu hanya dilaksanakan di Melaka dan belum pernah berlaku di negeri lain
“Tak pernah berlaku dan boleh semak dari Johor sampai ke Perlis, Perlis sampai Sabah dan Sarawak tak berlaku. Hanya berlaku pada satu negeri saja.
Sementara itu, Ab Rauf meluangkan masa hampir tiga jam menyantuni warga kem berkenaan pada hari keluarga tersebut.
Antara aktiviti yang diadakan pada hari keluarga itu termasuk sukaneka, pertandingan menembak, gusti lengan dan tarik tali.
– MalaysiaGazzette
















