JERANTUT – Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan polis selepas dipercayai merakam seorang wanita ketika berada di dalam tandas sebuah kedai serbaneka di Bandar Inderapura, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi pada 19 September lalu, membabitkan seorang wanita Melayu berusia 26 tahun yang merupakan pelanggan kedai berkenaan.
Menurutnya, mangsa mendakwa terlihat perbuatan mencurigakan apabila menyedari seolah-olah seseorang di dalam tandas sebelah sedang merakam dirinya menggunakan telefon bimbit melalui bahagian atas tandas.
“Mangsa bertindak pantas memeriksa tandas bersebelahan dengan bantuan ahli keluarganya sebelum suaminya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut untuk mendapatkan bantuan.
“Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Jerantut kemudian bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nor Azman berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 16 Plus yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 22 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
“Barang kes yang dirampas akan dihantar ke Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisis.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran di aplikasi Threads oleh mangsa yang mendakwa dirakam dari bahagian atas tandas ketika menggunakan tandas semasa membeli-belah. – MalaysiaGazette
















