MARAN – Berbaloi! Hanya kira-kira sejam menjala, seorang peserta berjaya membawa pulang lebih 40 ekor ikan pelbagai spesies pada Pesta Menjala 2.0 Estet Ikan Kuala Wau di sini, hari ini.
Manakan tidak, hanya bermodalkan RM50 tetapi membawa pulang hasil lumayan apabila berjaya mendapat ikan air tawar yang ‘mahal’.

Mohd Ilias Zulkifli, 37, yang menyertai pesta itu buat kali kedua berkata, antara hasil tangkapannya ialah ikan patin, temoleh, kerai dan tengalan, dengan sebahagiannya seberat antara 2.5 hingga empat kilogram.
Menurutnya, jika dijual, keseluruhan hasil tangkapan itu dianggarkan bernilai lebih RM400, namun penjawat awam itu memilih untuk membawa pulang dan menikmati bersama keluarga.
“Ada ikan yang beratnya sekitar tiga hingga empat kilogram, manakala sebahagian lagi sekitar 2.5 kilogram.
“Kalau dijual, hasil tangkapan itu dianggarkan bernilai lebih RM400, tapi saya memilih untuk makan bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, Hafizul Hamid, 41, dari Temerloh berkata, dia bersama dua rakannya sanggup datang seawal jam 11 malam sebelum berjaya memperoleh kira-kira 40 kilogram ikan selepas lebih dua jam menjala.
Katanya, hasil tangkapan terdiri daripada ikan patin dan tengalan yang kemudiannya dikongsi bersama rakan, jiran dan keluarga sebagai sedekah.
“Saya datang bersama dua lagi rakan dari Temerloh dengan bermodalkan RM150 dan rasa sangat seronok dapat turut serta dalam aktiviti ini.
“Hasil yang diperoleh ini kami kongsi bersama sebagai sedekah dan tidak dijual kepada sesiapa. Puas hati bila dapat agih dekat kawan-kawan untuk dinikmati bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rauf Wahid, 55, berkata, hasil tangkapan mula berkurangan selepas jam 10 pagi, namun dia tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.
Menurutnya, antara tangkapan yang berjaya diperoleh ialah ikan tengalan selain dua ekor patin bersaiz besar.
“Pengalaman menjala hari ini seronoklah. Lepas itu dalam pukul 10 lebih ikan kurang sikit, tapi Alhamdulillah masih ada rezeki bawa balik ikan,” katanya.
Pesta Menjala 2.0 Estet Ikan Kuala Wau yang bertemakan Menjala Warisan, Menjana Ekonomi merupakan penganjuran kali kedua selepas edisi pertama pada 2021.
Program anjuran JPKK Kuala Wau dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Maran serta Jabatan Perikanan Negeri Pahang itu bukan sahaja mengetengahkan aktiviti menjala sebagai warisan masyarakat setempat.
Malah turut membuka ruang kepada komuniti menjana pendapatan melalui penglibatan dalam sektor makanan, penginapan, produk tempatan dan perkhidmatan sepanjang pesta berlangsung. – MalaysiaGazette
















