KAJANG – Media berperanan sebagai rakan strategik penting dalam memperkukuh usaha membanteras rasuah khususnya dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, agensi itu tidak boleh bergerak bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama media untuk memastikan mesej berkaitan pencegahan, pendidikan dan pembudayaan integriti dapat disampaikan kepada rakyat.
“Saya amat berharap hubungan baik antara SPRM dan media dapat terus diperkukuhkan, khususnya dalam memastikan isu-isu berkaitan rasuah dilaporkan secara profesional, beretika dan berintegriti.
“Dalam konteks kewartawanan, integriti menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat.
“Setiap berita yang disampaikan mempunyai kesan terhadap persepsi awam, reputasi individu dan organisasi, malah boleh mempengaruhi keyakinan masyarakat terhadap institusi negara,” katanya ketika berucap pada Program Menembak SPRM Bersama Media di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut menekankan perjuangan membanteras rasuah bukan hanya berkaitan tangkapan, pendakwaan atau hukuman sebaliknya turut merangkumi aspek pencegahan, pendidikan, kesedaran dan pembudayaan nilai integriti dalam kehidupan seharian.
Dalam perkembangan sama, pihaknya berharap program bersama media seperti Program Menembak SPRM Bersama Media 2026 dapat menjadi platform untuk kedua-dua pihak memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan lebih dekat.
“Kerjasama berterusan antara SPRM dan media diyakini dapat membantu memperkukuh usaha membina masyarakat serta negara yang bebas rasuah dan berintegriti,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















