KUALA LUMPUR – Kehadiran beberapa pegawai Jabatan Penjara Malaysia di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, di sini pagi tadi mencetuskan perhatian susulan keputusan membolehkan beliau menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Pegawai terbabit dilihat menaiki dua kenderaan berwarna perak meninggalkan kediaman berkenaan kira-kira 11.50 pagi.
MalaysiaGazette difahamkan kehadiran mereka bagi urusan berkaitan persediaan teknikal dan keselamatan premis sebelum sebarang langkah lanjut berhubung pelaksanaan tahanan rumah dimuktamadkan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi bahawa proses pewartaan kediaman tersebut sebagai penjara telah dimuktamadkan.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun pengampunan itu tertakluk antara lain kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.

Mengikut Seksyen 3 Akta Penjara 1995 (Akta 537), kuasa kepada Menteri untuk, melalui pemberitahuan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat sebagai penjara bagi maksud Akta berkenaan.
Peruntukan sama turut membolehkan sesuatu premis yang telah diisytiharkan sebagai penjara dihentikan status berkenaan melalui kaedah yang sama.
Semalam, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan sekiranya Najib gagal mematuhi mana-mana syarat pengampunan berkenaan, pengampunan bersyarat itu terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara serta-merta. – MalaysiaGazette
















