Mohd Isa Abdul Samad. Foto: MOHD ADZLAN, 05 FEBRUARI 2026.

KAJANG – Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah dirakam percakapan selama dua hari di Penjara Sungai Buloh bagi membantu siasatan berkaitan badan berkanun itu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, rakaman keterangan itu bermula 17 September lalu dan diteruskan semalam.

Menurutnya, proses berkenaan masih belum selesai dan dijangka disambung selama tiga hingga empat hari lagi bermula Isnin ini.

“Setakat ini sudah dua hari penuh dirakam dan akan disambung pada Isnin dan kemungkinan selesai pada Khamis bagi rakaman keterangan daripada bekas Pengerusi FELDA,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Menembak SPRM Bersama Media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abd Halim merakamkan penghargaan kepada pihak Penjara Sungai Buloh atas kerjasama yang diberikan sepanjang proses rakaman keterangan berkenaan.

Katanya, kerjasama itu membolehkan proses rakaman keterangan dijalankan dengan lancar dalam keadaan kondusif.

Rakaman keterangan terhadap Isa dibuat ketika SPRM menjalankan siasatan berskala besar menerusi Op FELLA berhubung beberapa transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh FELDA serta FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

SPRM sebelum ini membuka enam kertas siasatan baharu selain meneruskan satu siasatan lama, dengan transaksi yang diteliti membabitkan tempoh antara 2010 hingga 2020.

Siasatan itu antaranya melibatkan dakwaan pembelian atau pelaburan aset pada nilai melebihi penilaian sebenar, selain dakwaan maklumat dan penilaian berkaitan tidak dimaklumkan sepenuhnya kepada ahli lembaga pengarah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here