SEPANG – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mahu isu yang membelenggu institusi diraja di negeri itu segera diselesaikan.
Baginda yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London, England jam 10.40 malam tadi akan terus berangkat pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan, malam ini juga.
“Mana lagi saya nak pergi. Saya nak balik untuk selesaikan masalah ini,” titahnya sebaik tiba di pintu Bilik Khas, Terminal 1, KLIA.
Baginda yang disambut kira-kira 200 penyokong turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan rakyat.
Kemelut berhubung kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semakin memuncak dengan pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN
Sebelum ini, barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Terbaharu, Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan, pengumuman ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), 15 September lalu berhubung kedudukan Tuanku Muhriz tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.
Katanya, Menteri Besar dan MMKN Negeri Sembilan tidak kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Katanya, kesahan dan kesan Proklamasi untuk menurunkan Tuanku Muhriz hendaklan ditentukan menerusi proses Perlembagaan dan undang-undang yang sah terutamanya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Tambahan pula katanya, Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana ia tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS, khususnya tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10 (1) UUTKNS terpakai kepada Tuanku Muhriz. – MalaysiaGazette
















