KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan perlindungan subsidi bil elektrik pengguna domestik diperluas sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan berbanding 600 kWj sebelum ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026 sebagai tindakan segera menangani tekanan kos sara hidup rakyat.
Jelas beliau, keputusan tersebut menyaksikan pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan mendapat pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira kemampuan rakyat, keterjaminan bekalan serta kemampanan sektor tenaga negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam membolehkan langkah berkenaan dilaksanakan segera.
Anwar sebelum itu, mempengerusikan mesyuarat khas yang membincangkan langkah mitigasi bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, selain pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Anwar sebelum ini memaklumkan mesyuarat khas diadakan hari ini bersama Kementerian Kewangan (MOF), PETRA, ST dan TNB bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah terbabit. – MalaysiaGazette
















