PUTRAJAYA – ‘Tiada lagi bermain golf jam 2 petang pada hari bekerja’ antara pendekatan tegas Allahyarham Tun Mohd Eusoff Chin dalam memastikan disiplin dan ketepatan masa hakim ketika menerajui institusi kehakiman negara.
Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Tun Mohd Eusoff memperkenalkan sistem merekod waktu masuk hakim bagi memastikan mahkamah benar-benar bersidang mengikut masa ditetapkan.
Katanya, langkah itu pernah menerima teguran kerana dianggap seolah-olah melayan hakim seperti kanak-kanak, namun Tun Mohd Eusoff tidak berganjak daripada pendiriannya.
Apabila ketepatan masa di luar Kuala Lumpur masih tidak memuaskan, Tun Mohd Eusoff turut mengambil pendekatan tersendiri dengan menghubungi kediaman hakim pada awal pagi dan memberitahu ‘Eusoff Chin’ berada di talian.
“Hakim yang dihubungi dilaporkan menjadi lebih menepati masa. Tiada lagi bermain golf jam 2 petang pada hari bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan utama pada Majlis Memperingati Mantan-Mantan Ketua Hakim Negara dan Mantan Hakim Besar Malaya di Mahkamah Persekutuan 1, Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Menurut Wan Ahmad Farid, kisah itu mungkin mengundang senyuman, namun perkara lebih penting di sebaliknya ialah disiplin.
Beliau berkata, prinsip berkenaan menjadi asas kepada setiap arahan mahkamah, sasaran penyelesaian kes dan tempoh masa yang ditetapkan dalam sistem kehakiman negara.
“Di sebaliknya terdapat satu prinsip yang menjadi asas kepada setiap arahan mahkamah, sasaran penyelesaian dan tarikh akhir di negara ini: masa kehakiman bukan milik hakim.
“Ia milik litigant (pihak terlibat dalam kes) yang sudah menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan hari mereka di mahkamah,” ujarnya.
Wan Ahmad Farid berkata, masa hakim perlu dilihat sebagai amanah kepada pihak yang hadir ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan dan bukan sekadar sebahagian daripada jadual kerja seseorang hakim.
Menurutnya, setiap kelewatan boleh memberi kesan kepada pihak yang telah lama menunggu penyelesaian kes, justeru disiplin dan ketepatan masa perlu diberi perhatian serius.
Beliau berkata, kedudukan sesebuah institusi kehakiman tidak ditentukan hanya oleh bangunan mahkamah atau kewujudan hakim, sebaliknya bergantung kepada karakter dan tindakan mereka yang diberikan amanah.
“Mahkamah mungkin mempunyai hakim dan bangunan yang hebat. Tetapi semua itu tidak membuktikan apa-apa. Sebuah institusi memperoleh kedudukannya melalui karakter dan tindakan mereka yang diamanahkan kepadanya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Farid turut mengingatkan bahawa kerja kehakiman yang penting tidak semestinya menjadi perhatian umum atau tajuk berita, termasuk memastikan kes didengar dan dikendalikan dengan cekap.
Katanya, pelaksanaan tugas harian yang berdisiplin dan konsisten itulah yang akhirnya membentuk keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman.
Beliau berkata, setiap litigant yang meninggalkan mahkamah perlu merasakan bahawa kes mereka telah didengar, dipertimbangkan dengan adil dan diputuskan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Wan Ahmad Farid menegaskan, standard tersebut perlu terus dipertahankan oleh generasi hakim dan pegawai kehakiman yang sedang berkhidmat.
“Kerja itu kini menjadi tanggungjawab kita untuk diteruskan,” katanya. -MalaysiaGazette
















