Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dituntut  memberi penjelasan segera berhubung kelewatan pembekalan kain uniform dan bayaran upah jahit kepada petugas kesihatan yang masih berlarutan sehingga sekarang.

Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya berlarutan kerana uniform merupakan keperluan asas petugas kesihatan dalam menjalankan tugas harian.

Beliau yang juga bekas Pengarah Hospital Sungai Bakap mendakwa, berdasarkan maklum balas diterima, terdapat petugas masih belum menerima kain uniform, selain bayaran upah jahit yang masih tertunggak.

“Semakan terhadap 718 komen dan balasan daripada 611 akaun pengguna pada hantaran Facebook saya menunjukkan keresahan mengenai kelewatan bekalan, bayaran yang masih tertunggak serta kualiti kain yang dibekalkan.

“Maklum balas diterima melibatkan lokasi di semua negeri dan Wilayah Persekutuan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun, Lingeshwaran berkata, aduan berkenaan perlu disahkan menerusi rekod rasmi setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai status pembekalan.

Menurutnya, terdapat juga petugas yang memaklumkan sudah menerima bekalan dan bayaran, termasuk perbezaan penerimaan antara kategori petugas dalam fasiliti yang sama.

“Namun, persoalan lebih besar ialah mengapa anggaran kuantiti yang diperlukan kurang tepat ketika kontrak dilanjutkan dan siapa yang bertanggungjawab membuat anggaran tersebut.

“Jika hampir semua PTJ masih melaporkan belum menerima bekalan, ini menunjukkan jurang perbezaan kuantiti mungkin amat besar berbanding anggaran asal,” ujarnya.

Beliau berkata, isu itu turut membabitkan kualiti kain yang didakwa terlalu keras, panas, kurang menyerap peluh, nipis atau jarang, selain mudah menguning dan sukar dijahit.

Malah, katanya, terdapat petugas yang terpaksa membeli kain atau uniform siap menggunakan wang sendiri selepas tukang jahit enggan menerima kain yang dibekalkan.

Lingeshwaran berkata, KKM juga perlu mengenal pasti jenis kain, kelompok bekalan dan pembekal yang terlibat kerana sebahagian aduan kualiti mungkin merujuk kepada bekalan pada tahun-tahun terdahulu.

Dr. RA Lingeshwaran.

“Isu ini pernah saya bangkitkan di Dewan Negara dan ketika itu dimaklumkan tindakan telah diambil serta penalti dikenakan terhadap syarikat pembekal.

“Namun, jika kontrak kemudiannya dilanjutkan selama setahun kepada pembekal sama, persoalannya mengapa kain yang dianggap kurang berkualiti oleh petugas masih dibekalkan?,” soalnya.

Beliau menegaskan keberkesanan perbelanjaan kerajaan tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah kain yang dihantar semata-mata, sebaliknya sama ada kain tersebut benar-benar sesuai digunakan untuk menghasilkan uniform.

“Petugas kesihatan perlu bergerak aktif dan bekerja dalam pelbagai keadaan, termasuk di persekitaran tanpa penyaman udara. Keselesaan, ketahanan dan kesopanan pakaian merupakan keperluan asas mereka,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Lingeshwaran menggesa KKM mengesahkan status bekalan di setiap PTJ mengikut kategori petugas dan komponen uniform termasuk kain baju, kain seluar serta tudung.

Beliau turut meminta kementerian menetapkan tarikh penyelesaian yang jelas bagi mengelakkan petugas terus menunggu tanpa kepastian, selain menyegerakan bayaran upah jahit bagi tuntutan yang lengkap.

“KKM juga perlu menjelaskan kaedah pembayaran bagi petugas yang masih menunggu kain, termasuk mereka yang bakal bersara atau bertukar tempat bertugas sekiranya bekalan tidak dapat diselesaikan pada tahun ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan spesifikasi dan kualiti kain dinilai semula dengan penglibatan wakil petugas, termasuk dari aspek keselesaan, ketelusan, ketahanan warna dan kesesuaian untuk dijahit.

Katanya, kerajaan juga wajar mengkaji pilihan pemberian elaun yang merangkumi kos kain dan upah jahit atau kaedah pembekalan lain yang lebih praktikal berdasarkan keperluan sebenar petugas.

“Petugas diminta sentiasa menjaga kekemasan dan imej perkhidmatan. Sewajarnya, keperluan asas untuk memenuhi tuntutan tersebut dibekalkan dengan baik dan tepat pada masanya.

“Kebajikan petugas kesihatan mesti diterjemahkan melalui tindakan yang nyata. Mereka berhak mendapat uniform yang sesuai, bayaran yang teratur dan penjelasan yang jelas apabila berlaku kelewatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here