Kesan lebam pada badan mangsa dikatakan akibat dipukul guru di sebuah SJKC.

GEORGE TOWN – Seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun didakwa dicederakan secara fizikal oleh seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dalam daerah Barat Daya dekat sini.

Pendedahan itu dibuat Ketua Biro Aduan Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi selepas menerima aduan daripada ibu bapa kanak-kanak berkenaan pada Selasa lalu.

Katanya, berdasarkan aduan yang diterima, pelajar itu didakwa dipukul sehingga menyebabkan kesan lebam pada bahagian kiri badan serta lengannya.

“Apabila seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun didakwa mengalami lebam fizikal perkara itu tidak boleh diketepikan sebagai isu disiplin biasa.

“Disiplin memang diperlukan dalam pendidikan, namun ia perlu dilaksanakan dalam batas dan cara yang sewajarnya.

“Guru mempunyai tanggungjawab untuk mendisiplinkan murid, tetapi kemarahan, kekecewaan atau hilang kawalan tidak boleh mengubah disiplin menjadi keganasan fizikal,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Andrew Ooi, pihaknya telah hadir ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang hari ini bagi meminta siasatan yang sewajarnya berhubung kes berkenaan.

“Kami mahu ibu bapa mangsa menerima penjelasan mengenai apa yang sebenarnya berlaku, selain kebajikan dan keselamatan kanak-kanak itu dilindungi sepanjang siasatan.

Andrew Ooi hadir ke JPN Pulau Pinang bagi menggesa siasatan sewajarnya dibuat berhubung kes berkenaan.

“Paling penting, kami mahu memastikan kanak-kanak dan keluarganya tidak berdepan sebarang bentuk tindakan balas, intimidasi atau diskriminasi kerana tampil membuat aduan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Andrew Ooi turut menggesa Kementerian Pendidikan melihat isu berkenaan melangkaui kes individu dan meneliti masalah sistemik dalam sistem pendidikan.

Katanya, sepanjang tahun lalu, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan buli, kesihatan mental murid, keganasan dan kes tragis membabitkan kehilangan nyawa golongan muda.

“Insiden ini sepatutnya menjadi satu peringatan.
Kita tidak boleh terus bertindak terhadap setiap kes hanya selepas sesuatu berlaku. Kita memerlukan pencegahan, intervensi awal, pengurusan murid yang lebih baik dan sokongan lebih kukuh kepada guru.

“KPM juga perlu mempertimbangkan untuk memperkenal atau memperkukuh program latihan berkala merangkumi pengurusan murid dan kelas, pengurusan kemarahan serta tekanan, pengurusan konflik, perlindungan kanak-kanak dan kaedah disiplin yang sesuai, kesedaran kesihatan mental serta sokongan kaunseling dan psikologi kepada guru yang berdepan tekanan serius.

“Jika kita mahu anak-anak membesar dalam persekitaran yang selamat, kita juga perlu memastikan guru diberikan sokongan, latihan dan sumber yang betul untuk mengurus situasi sukar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here