Sebahagian warga Kumpulan Pengasas dan Senior TVET Swasta Malaysia pada forum ‘Mengimbau Sejarah, Perjuangan PKLS Harungi Cabaran TVET Negara’ baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pusat Latihan Kemahiran Swasta (PLKS) mahu kerajaan mengiktiraf mereka sebagai rakan strategik dalam pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bukan sekadar pelaksana dasar kerajaan.

Kumpulan Pengasas dan Senior TVET Swasta Malaysia berkata, pengalaman lebih tiga dekad membangunkan institusi latihan kemahiran swasta membuktikan PLKS mempunyai kepakaran, tenaga pengajar, kemudahan latihan serta jaringan industri yang penting kepada pembangunan tenaga mahir negara.

Menurutnya, kapasiti latihan yang dibangunkan institusi swasta selama puluhan tahun tidak wajar dipandang ringan kerana kehilangan institusi berkenaan boleh menjejaskan keupayaan negara menyediakan tenaga kerja mahir dalam tempoh singkat.

“PLKS bukan entiti yang terpisah daripada sistem TVET negara, sebaliknya berkembang seiring pembangunan TVET Malaysia dan menjadi pelengkap kepada kapasiti institusi latihan awam.

“Justeru, perancangan TVET masa depan perlu terus berasaskan kerjasama antara kerajaan, institusi latihan swasta dan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, katanya, wakil PLKS perlu dilibatkan secara langsung dalam proses rundingan dan pembentukan dasar yang memberi kesan kepada operasi institusi latihan kemahiran swasta.

Jelasnya, perubahan dasar sememangnya diperlukan bagi meningkatkan kualiti latihan, kebolehpasaran graduan serta keberkesanan penggunaan dana awam.

Namun, ujarnya, pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan sebenar yang dihadapi penyedia latihan, termasuk keperluan menyediakan tempoh peralihan yang munasabah.

“Setiap perubahan besar perlu disertai rundingan dengan pihak berkepentingan dan penilaian kesan supaya institusi mempunyai ruang untuk membuat penyesuaian,” katanya.

Dalam soal kebolehpasaran graduan pula, tambahnya, kejayaan TVET tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu institusi latihan.

Menurut kumpulan itu, penyedia latihan bertanggungjawab memastikan kualiti latihan serta membantu penempatan graduan, tetapi peluang pekerjaan, struktur gaji dan permintaan tenaga kerja turut dipengaruhi keadaan industri serta ekonomi negara.

“Pembangunan tenaga mahir merupakan tanggungjawab bersama kerajaan, agensi pembiayaan, badan pensijilan, penyedia TVET, industri, majikan dan graduan.

“Jadi, hasil TVET termasuk kebolehpasaran graduan perlu dilihat berdasarkan keseluruhan ekosistem,” tegasnya.

Mereka turut menggesa kerajaan memastikan dasar TVET lebih stabil supaya institusi swasta dapat membuat perancangan jangka panjang, khususnya berkaitan kemudahan latihan, tenaga pengajar dan hubungan dengan industri.

Katanya, ketidakstabilan dasar atau perubahan kaedah pelaksanaan secara mendadak dikhuatiri memberi kesan kepada kelangsungan institusi yang telah beroperasi sekian lama.

Tambahnya, lima perkara utama diketengahkan sebagai harapan PLKS, termasuk pengiktirafan sebagai rakan strategik kerajaan, penglibatan dalam rundingan dasar, dasar yang lebih stabil dengan tempoh peralihan munasabah.

Selain itu, ujarnya, tanggungjawab bersama terhadap kebolehpasaran graduan serta mengambil kira kelangsungan institusi swasta dalam perancangan tenaga mahir negara.

“Kita tidak mahu sekadar mengimbau sejarah. Kita mahu pengalaman tiga dekad pembangunan PLKS dijadikan pengajaran untuk membina TVET Malaysia yang lebih kukuh bagi dekad akan datang.

“Banyak cabaran TVET berjaya ditangani apabila kerajaan dan penyedia latihan bergerak bersama,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here