KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini pada 10 Ogos lalu atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Tan Kian Kok, bekas pengarah syarikat Teluk Sepangar Quarry Sdn. Bhd., telah menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat itu tanpa persetujuan atau ratifikasi suatu mesyuarat agung syarikat tersebut dengan meluluskan pembayaran wang syarikat berjumlah RM165,000 kepada Viva Mekar Sdn. Bhd.
Tindakan tersebut dilakukan bagi mendapatkan suatu manfaat secara tidak langsung memandangkan tertuduh turut memegang jawatan sebagai pengarah Viva Mekar Sdn. Bhd.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen Seksyen 218(2) akta yang sama dengan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah telah menetapkan 21 September sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nurul’Ain Shafie, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Chong Choon Choy.
SSM dalam kenyataannya hari ini mengingatkan kepada semua pengarah syarikat agar tidak menyalahgunakan kedudukan sebagai pengarah syarikat untuk tujuan yang bertentangan dengan kehendak perundangan kerana tindakan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah akta yang dikawal selia olehnya. Â – MalaysiaGazette
















