Barang-barang yang dipercayai milik warga asing yang ditempatkan di dalam pejabat pengurusan ketika tinjauan di Residensi Max, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – “Kami bayar maintenance antara RM320 hingga RM350 setiap bulan, namun warga asing dibenarkan menggunakan bilik utiliti di sini sebagai rumah haram mereka termasuk fasiliti kami hingga mengancam keselamatan penduduk”.

Demikian luahan penduduk di kediaman Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di Residensi Max di Jalan Kolam Air di sini, yang berdepan dengan masalah kehadiran warga asing di kediaman itu sejak hampir setahun lalu.

Bilik utiliti yang dijadikan tempat tidur dan dapur memasak warga asing ketika tinjauan di Residensi Max, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2026.

Terdahulu, sedikit ketegangan berlaku sebaik sahaja wakil MalaysiaGaazette tiba di kediaman itu apabila pegawai keselamatan diarah oleh pihak pengurusan untuk tidak membenarkan media memasuki kawasan tersebut walaupun pada awalnya kami dijemput oleh penduduk setempat.

Bagaimanapun keadaan kembali reda apabila penduduk sendiri turun untuk membenarkan wakil MalaysiaGazette memasuki residensi itu dan kami turut ke pejabat pihak pengurusan, namun kesemua kakitangan terbabit enggan bertemu pihak media.

Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi Max, Muhammed Assyafiq Ahmad Kamal bercakap semasa ditemubual ketika tinjauan di Residensi Max, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2026.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi Max, Muhammed Assyafiq Ahmad Kamal, 35, lebih mengecewakan apabila pihak pengurusan enggan memberi kerjasama kepada penduduk setempat berkait penempatan haram warga asing tersebut.

“Isu utama kami adalah bagaimana warga asing ini dibenarkan menetap di residensi ini dengan menggunakan bilik utiliti dan pump house sebagai rumah haram. Isu ini sudah lama dan kami sudah tegur beberapa kali sehingga kami terpaksa ambil tindakan sebegini.

“Kami kesan hal ini selepas jiran wanita terkejut dan menjerit melihat seorang lelaki Bangladesh hanya bertuala dipercayai mandi di tandas wanita dekat kolam renang. Dia kemudian segera maklumkan dalam ‘group’ komuniti dan kami terus segera jalankan pemeriksaan di sekitar residensi ini.

“Semakan ke atas lelaki Bangladesh itu, dia merupakan pekerja penyelenggaran dan hasil pemeriksan mendapati tujuh hingga lapan warga asing tinggal di situ dengan perkakasan memasak serta botol air kencing mereka bersepah termasuk ada tong minyak hitam,” luahnya pada pemberita.

Botol yang berisi air kencing turut dijumpai di dalam bilik utiliti yang dipercayai menjadi tempat tinggal warga asing ketika tinjauan di Residensi Max, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2026.

Tambah Muhammed Assyafiq, pemeriksaan lanjut penduduk setempat turut menemukan sebuah lagi bilik utiliti dipenuhi dengan tayar motosikal dipercayai digunakan sebagai ‘bengkel haram’.

“Dalam bilik pump house itu memang penuh dengan minyak hitam dan minyak petrol yang disimpan. Di dalam bilik ini juga penuh dengan barangan elektrik yang memiliki watt tinggi, kalau tumpah boleh terbakar kediaman ini dan sebab itu kami mula risau selain ia sangat bahaya.

“Sudahlah kami beli pada harga lebih RM300,000 namun sehingga ini hanya dua daripada 12 fasiliti sahaja dapat kami gunakan iaitu gimnasium dan kolam renang, kemudahan lain masih kosong tanpa ada penyaman udara.

“Bukan itu sahaja, fasiliti ruangan seperti tadika atau kedai serbaneka pula dijadikan stor simpanan barang dan tempat ‘cleaner’ beristirahat yang sangat selesa serta duduk percuma, sedangkan kami bayar semua fasiliti di sini, tapi pihak pengurusan pula hanya tutup mata,” ujarnya.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya telah membuat tiga laporan polis dan melantik peguam bagi membawa isu berkenaan ke Pesuruhjaya Bangunan (COB), Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penduduk yang terpaksa berjalan kaki untuk masuk melalui pintu utama ketika tinjauan di Residensi Max, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2026.

Selain daripada isu warga asing dan pihak pengurusan, Muhammed Assyafiq berkata, mereka juga berdepan dengan masalah laluan masuk di residensi itu yang dahulunya menjanjikan dua laluan namun kini telah disekat sehingga menyusahkan penduduk.

“Masa kami beli residensi ini dalam risalah ‘brochure’ ada beritahu boleh guna laluan bawah di Jalan Kolam Air, tapi sebaik penyerahan kunci dilaksanakan, laluan itu tidak boleh dilalui dan kami perlu menggunakan laluan kedua iaitu Sentul Link yang berada di tingkat tiga.

“Jalan ini memang bahaya sebab tiada bahu jalan untuk penjalan kaki dan kami sudah buat aduan kepada Datuk Bandar, namun masih belum ada sebarang penyelesaian. Ada penduduk sini terpaksa merisikokan diri berjalan kaki di Sentul Link untuk pergi ke kedai terdekat atau stesen LRT.

“Kalau kami nak ke kedai paling terdekat dari laluan di tingkat tiga akan mengambil masa dalam 10 hingga 12 kilometer sebab perlu pusing hingga ke Jalan Parlimen, jika naik Grab pula caj dikenakan antara RM10 hingga RM20, memang mahal serta menyusahkan,” jelasnya.

Bilik pam yang dipercayai dijadikan bengkel haram ketika tinjauan di Residensi Max, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2026.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat turun padang serta bersemuka dengan penduduk setempat bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi penduduk di Residensi Max itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here