Xesco Munoz

JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu belajar daripada perlawanan terdahulu dan tampil dengan strategi ampuh selain mempamerkan mentaliti juara apabila berdepan Buriram United pada aksi pembukaan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) malam esok.

Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, ia termasuk menterjemahkan momentum kemenangan sebelum ini ketika bertemu juara Liga Thailand tersebut di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

Berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan, kelab Thailand itu berada pada kedudukan lebih baik setelah skuad Harimau Selatan hanya berjaya menewaskan lawan sekali sahaja daripada tujuh pertemuan.

Munoz berkata, walaupun Buriram United kini di bawah kendalian jurulatih baharu, skuad Thunder Castle tersebut masih mempunyai kualiti yang sama dan dibarisi pemain yang digeruni.

“Meskipun kini dibimbing jurulatih Portugal, Mario Silva, saya lihat corak permainan mereka tidak banyak berubah, masih kuat seperti dulu, jadi kita tidak boleh ambil mudah.

“Perlawanan ini sangat penting buat JDT, Justeru, pemain perlu mengekalkan mentaliti juara dan mengelakkan gawang dibolosi dan kesilapan mudah, serta kekal berdisiplin ketika situasi bola mati dan transisi permainan,” katanya.

Pertembungan antara kedua-dua kelab gergasi Asia Tenggara itu juga dilihat sebagai peluang balas dengan buat JDT selepas disingkirkan Buriram United pada pusingan separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Mei lalu.

Dalam pada itu, Munoz turut mengingatkan barisan pertahanannya agar tidak alpa sepanjang 90 minit perlawanan kerana jentera serangan lawan berupaya menghukum JDT walaupun hanya diberikan ruang kecil sahaja.

“Di bahagian serangan, mereka mempunyai pemain yang sangat berbahaya dan klinikal. Jika diberikan sedikit ruang sahaja, mereka mampu menjaringkan gol. Kami perlu kekal komited dan sentiasa berwaspada dengan ancaman tersebut,” jelasnya.

Bekas pengendali Watford itu turut berharap kehadiran penyokong yang tinggi membanjiri stadium berkenaan esok dan mampu menyuntik tenaga tambahan buat pasukannya memburu keputusan positif.

“Bermain di halaman sendiri memberikan kelebihan buat kami. Sokongan padu peminat di stadium ibarat tenaga ekstra di belakang pemain dan kami akan berikan aksi maksimum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here