KUALA LUMPUR – Rangkaian serbaneka KK Mart di Kuala Lumpur bakal menjadi titik selamat atau ‘safey point‘ dan kawasan persinggahan (staging area) bagi meningkatkan keberadan polis di kawasan komuniti.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, insiatif itu membuktikan pihak swasta yang berdepan dengan persaingan sengit dalam industri peruncitan meletakkan tanggungjawab sosial sebagai keutamaan.
Jelasnya, cadangan tersebut sedang diperingkat awal selepas kertas cadangan (proposal) diangkat oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
“Alhamdulillah, kita buat jalinkan kerjasama antara pihak swasta, KK Mart dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana tanggungjawab sosial diberikan oleh KK Mart ini, memberikan kebaikan faedah kepada masyarakat serta warga polis.
“Kita juga berhasrat supaya KKM Mart ini menjadi ‘safety point’ untuk masyarakat di luar sana, sebagai tumpuan keselamatan selain tingkatkan kerjasama rondaan serta pemantauan.
“Selain itu, kita berhasrat untuk melaksanakannya dalam masa terdekat sebaik sahaja segala proses teknikal dan kelulusan dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan KK Mart di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambah Fadil, pihaknya juga sedang dalam cadangan melaksanakan penyambungan data kamera litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka terus kepada Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) di IPK Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, KK Mart kini mengendalikan lebih 1,100 cawangan di seluruh negara dengan setiap premis dilengkapi kira-kira 16 kamera CCTV yang dipantau secara berpusat dari ibu pejabat syarikat.
“Ini bermakna terdapat lebih 17,000 kamera CCTV yang berpotensi dimanfaatkan sebagai sumber maklumat tambahan kepada polis.
“Sekiranya dihubungkan melalui sistem pengecaman wajah dan pengecaman identiti, kita boleh meneliti pergerakan suspek serta mengenal pasti lokasi yang pernah dikunjungi mereka dengan lebih pantas,” jelasnya.
Ujar beliau, kerjasama berasaskan teknologi itu bukan sekadar membantu siasatan jenayah, malah menjadi contoh bagaimana sektor swasta boleh menyumbang secara langsung dalam aspek keselamatan komuniti.
Tegas Fadil, cadangan tersebut akan diperhalusi bersama KK Mart serta agensi berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan, privasi dan pematuhan undang-undang diberi keutamaan sebelum dilaksanakan. – MalaysiaGazette
















