Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) digesa segera mempercepatkan kelulusan perolehan serta penyaluran peruntukan bagi uniform jururawat yang didakwa masih berdepan kelewatan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, isu kelewatan itu tidak seharusnya dilihat sebagai perkara pentadbiran kecil kerana ia membabitkan kebajikan petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan sistem penjagaan kesihatan awam.

Tegasnya, kebajikan asas jururawat perlu diberi perhatian serius susulan trend peletakan jawatan yang membimbangkan dalam perkhidmatan awam.

Berdasarkan statistik rasmi, seramai 1,754 jururawat meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam antara 2020 hingga 2024, dengan jumlah peletakan jawatan meningkat kepada lebih 500 orang setahun.

Pada 2024 sahaja, seramai 582 jururawat KKM dilaporkan meletakkan jawatan, manakala hanya 88 peratus daripada 79,814 jawatan kejururawatan yang tersedia diisi.

Malah, peletakan jawatan dalam kalangan jururawat KKM yang mempunyai kelayakan pasca asas turut meningkat dua kali ganda, daripada 60 orang pada 2019 kepada 118 orang pada 2023.

Hang Soon mengingatkan bahawa jururawat merupakan antara petugas yang paling banyak berdepan pesakit secara langsung setiap hari, selain terdedah kepada risiko penyakit berjangkit ketika menjalankan tugas.

Sehubungan itu, katanya, keperluan asas termasuk penyediaan uniform yang selesa, praktikal dan sesuai dengan keadaan kerja perlu diberi perhatian sewajarnya.

“MCA menggesa MOF dan KKM supaya segera mempercepatkan kelulusan perolehan dan penyaluran dana bagi uniform jururawat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau sekali lagi menegaskan, pakaian seragam petugas kesihatan perlu menggunakan fabrik yang praktikal, selesa, mempunyai pengudaraan baik dan tahan lasak bagi menyokong tugas mereka yang panjang serta mencabar.

Katanya, maklum balas jururawat mengenai fabrik yang terlalu keras, panas, kurang menyerap peluh, nipis atau sukar dijahit juga perlu dikaji secara menyeluruh.

“Uniform yang kelihatan sesuai tetapi tidak selesa atau tidak praktikal untuk tugasan tidak mencapai tujuan sebenar penyediaannya,” katanya.

Oleh itu, katanya, KKM juga perlu mengambil kira pandangan terus daripada petugas barisan hadapan berkaitan kualiti dan reka bentuk uniform.

Menurutnya, penyelesaian terhadap keperluan kebajikan asas berkenaan bukan sahaja menunjukkan penghargaan terhadap pengorbanan jururawat, malah boleh membantu meningkatkan usaha mengekalkan tenaga kerja kejururawatan dalam perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette

Kain uniform tak sampai, upah jahit tertunggak – KKM didesak beri penjelasan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here