Nuraqilah Husni Abdul Basit dan ibu saudaranya, Siti Rohani Awang.

NILAI – Berdepan cabaran kesihatan sejak usia kanak-kanak hingga terpaksa menduduki peperiksaan di bilik rawatan, Nuraqilah Husni Abdul Basit, 20, akhirnya merealisasikan impian melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila mendaftar sebagai mahasiswa baharu pada sesi akademik 2026/2027.

Nuraqilah hadir menyempurnakan sesi pendaftaran fizikal bagi program Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan Kepujian di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) di Dewan Tuanku Canselor semalam.

Impian ke menara gading itu mula dipendam selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila permohonan awalnya tidak berjaya, namun beliau bangkit membuktikan kemampuan menerusi keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Agama Syarifah Rodziah, Melaka.

Ujian hidup Nuraqilah bermula ketika berusia lapan tahun apabila mengalami komplikasi ketulan darah beku di bahagian otak susulan jangkitan kuman selepas prosedur cabutan gigi ketika di sekolah rendah yang turut menjejaskan saraf penglihatannya.

Rentetan keadaan tersebut, beliau menjalani rawatan berterusan termasuk 30 sesi radioterapi harian di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mengecutkan ketulan berkenaan.

Walaupun ketulan tersebut mengecut untuk suatu tempoh, pemantauan klinikal terbaharu mendapati saiznya kembali membesar kira-kira sebesar duit syiling 50 sen pada tahun lalu.

Cabaran kesihatan itu turut menguji ketabahan Nuraqilah ketika menduduki STPM apabila beliau terpaksa mengambil peperiksaan ulangan semester tiga di bilik rawatan Hospital Melaka akibat kerap mengalami sakit kepala yang berpunca daripada tekanan belajar.

Namun, kesungguhan beliau menjawab sendiri kertas peperiksaan dalam keadaan tersebut membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang sekali gus membuka laluan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Nuraqilah, USIM menjadi pilihan kerana persekitaran pembelajaran yang berteraskan nilai Islam serta bidang pengajian yang diminatinya.

“Harapan saya adalah untuk menamatkan pengajian ini dengan sebaiknya dan mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik di luar sana demi berbakti semula kepada masyarakat,” katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu turut mendapat sokongan penuh daripada ibunya yang merupakan suri rumah sepenuh masa selepas kehilangan bapanya pada 2015.

Bagi memastikan urusan pendaftaran berjalan lancar, Nuraqilah ditemani ibu saudaranya, Siti Rohani Awang, 42, yang turut berkongsi rasa bangga melihat anak saudaranya berjaya melangkah ke menara gading selepas melalui pelbagai cabaran.

“Kami tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa melainkan melihat beliau terus kuat, berjaya menghabiskan pengajian dan kembali menaiki pentas konvokesyen dengan senyuman kejayaan,” ujar ibu saudaranya.

Perjalanan Nuraqilah membuktikan bahawa cabaran kesihatan bukan penghalang untuk seseorang mengejar pendidikan tinggi, sebaliknya kecekalan, sokongan keluarga dan kesungguhan diri mampu membuka ruang kepada kejayaan.

Sepanjang berada di kampus, Nuraqilah ditempatkan di Kolej Kediaman Sutera Indah (KKSI) bagi memudahkan urusan mobiliti hariannya.MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here