Pelancaran pada 19 September akan menjadi titik permulaan kepada rangkaian program UM121 yang berlangsung sehingga Disember 2026.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) bakal melancarkan sambutan ulang tahun ke-121 (UM121) esok, 19 September 2026, menandakan satu lagi detik penting dalam perjalanan institusi yang telah berkembang bersama sejarah dan pembangunan negara.

Bertemakan “121 Tahun Kecemerlangan, Menyulam Masa Depan”, UM121 bukan sekadar memperingati usia dan pencapaian universiti, tetapi menjadi platform untuk menghubungkan legasi UM dengan aspirasi masa hadapan dalam pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan pembangunan masyarakat.

Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor Universiti Malaya.

Antara sorotan utama pelancaran ialah Royal Brisk Walk bersama Tuanku Canselor yang julung kali diadakan di Universiti Malaya, melibatkan penyertaan lebih 2,000 warga UM.

Program ini membawa simbolik perjalanan UM yang telah berkembang bersama negara selama lebih satu abad dan kini terus melangkah ke hadapan bersama seluruh komuniti Universiti.

Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, sambutan UM121 membawa makna yang lebih besar daripada memperingati sejarah universiti.

“UM121 adalah tentang menghargai perjalanan yang telah membentuk Universiti Malaya, tetapi pada masa yang sama melihat dengan lebih jauh tentang peranan yang perlu direalisasikan oleh UM untuk Malaysia dan dunia. Legasi 121 tahun ini memberikan kita asas yang kukuh untuk terus membina sebuah universiti yang berani meneroka, mencipta ilmu dan memberi impak kepada masyarakat.

“UM121 bukan sekadar meraikan sejauh mana Universiti Malaya telah melangkah, tetapi menandakan sejauh mana lagi universiti ini mahu pergi,” Profesor Azuan berkata.

Pelancaran pada 19 September akan menjadi titik permulaan kepada rangkaian program UM121 yang berlangsung sehingga Disember 2026, merangkumi penglibatan alumni, program akademik dan intelektual, pameran sejarah dan warisan, aktiviti bersama komuniti serta pelbagai inisiatif yang mengetengahkan sumbangan UM kepada negara.

Orang ramai dan alumni dijemput untuk mengikuti perkembangan serta rangkaian program UM121 menerusi laman rasmi um.edu.my/about-um121 dan platform media sosial rasmi Universiti Malaya (@unimalaya). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here