KULIM – Dua lagi kanak-kanak yang sebelum ini dikejarkan ke Hospital Kulim selepas dipercayai lemas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di sini, malam tadi, disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, kedua-dua mangsa yang berusia lapan dan 10 tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Jelas beliau, dengan kematian dua mangsa berkenaan, jumlah keseluruhan mangsa yang maut dalam kejadian itu meningkat kepada empat orang.
Kesemua mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12; Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8; Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12; dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
“Kesemua mangsa tinggal berdekatan dengan Taman Desa Kayangan selain Muhammad Aeril Aziz dan Muhammad Arif Nuafan merupakan adik-beradik tiri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas mengenai kejadian itu, Syamsul berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 7.45 malam yang memaklumkan terdapat empat mangsa lemas di dalam kolam tadahan di Jalan Desa Kayangan 3/3.
Jelas beliau, hasil temu bual dengan ibu mangsa mendapati kesemua mereka keluar dari rumah untuk bermain bola.
“Bagaimanapun, bola itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang di tempat kejadian dan kesemua mangsa cuba mengambil bola berkenaan sebelum terjatuh ke dalam longkang tersebut.
“Tiada sesiapa yang melihat kejadian berkenaan berlaku dan longkang itu dianggarkan mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter dengan lebar 1.8 meter.
“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Media sebelum ini melaporkan dua mangsa masing-masing berusia 12 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Video serta gambar berhubung kejadian turut tular di media sosial. – MalaysiaGazette
















