KULIM – Dua kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, dua lagi kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun turut terjatuh namun diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Kulim.
Bagaimanapun status kedua-dua mangsa tersebut masih belum diketahui.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, anggota dari Balai Polis Sungai Karangan yang tiba di lokasi mendapati dua kanak-kanak telah dibawa ke Hospital Kulim.
“Manakala dua lagi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu tular rakaman video dan gambar di media sosial yang memaparkan orang awam menyelamatkan mangsa-mangsa berkenaan. – MalaysiaGazette
















