KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing (PeWa) yang memandu tanpa dokumen atau lesen memandu sah termasuk mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan mereka memandu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu warga asing yang melanggar peraturan jalan raya malah operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan.
Menurut beliau, arahan telah diberikan kepada Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Ibu Pejabat supaya meningkatkan usaha membendung pemandu warga asing tanpa dokumen sah daripada berada di jalan raya.
“Kalau mereka ada dokumen yang sah, dokumen lesen yang sah, itu tidak ada masalah. Tetapi kalau tidak ada, kita akan ambil tindakan termasuk tindakan terhadap pemilik-pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu-pemandu ini memandu kenderaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran nombor pendaftaran khas sempena Hari Malaysia di Presint Merdeka 118 di sini malam ini.
Aedy Fadly berkata, penguatkuasaan terhadap PeWa merupakan antara operasi yang dilaksanakan secara berfokus dan bersasar menerusi pelan tindakan penguatkuasaan tahunan JPJ.
Operasi berkenaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengambil kira pelbagai isu keselamatan jalan raya.
“Setiap tahun kita membangunkan pelan tindakan penguatkuasaan dan melaksanakannya berdasarkan semua SOP, operasi dan sebagainya.
“Kita tidak akan memberi peluang kepada pemandu warga asing untuk berada di jalan raya jika mereka tidak mematuhi peraturan. Kalau patuh, tidak ada masalah, tetapi kalau tidak, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.
Mengulas mengenai penggunaan basikal tiga roda yang diubah suai dan digunakan di jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan maut, beliau berkata, JPJ tidak menjalankan operasi khusus untuk menyita kenderaan berkenaan kerana jumlahnya tidak banyak di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, tindakan sitaan akan diambil sekiranya kenderaan terbabit dikesan dalam operasi.
“Kita faham dan tahu modus operandi mereka. Kita tahu kenderaan-kenderaan ini milik siapa dan memang kita mempunyai maklumat mengenainya.
“Tindakan sentiasa diambil untuk memastikan pemandu-pemandu ini tidak berada di atas jalan raya,” ujarnya.
Beliau berkata, berdasarkan statistik, banyak tindakan telah diambil terhadap pemandu terbabit namun maklumat mengenai penguatkuasaan berkenaan mungkin kurang diketahui masyarakat.
Sehubungan itu, Aedy Fadly meminta media membantu menyampaikan maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan JPJ kepada orang ramai.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan JPJ turut mengenal pasti beberapa kawasan yang menjadi hotspot bagi kesalahan membabitkan pemandu warga asing.
“Ada, di negeri-negeri ada. Kita memang kenal pasti tempat-tempat yang ada hotspot untuk PeWa-PeWa ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















