Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli merasmikan Majlis Interaksi Bersama Media Sempena Hari Malaysia di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2026

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan nombor pendaftaran kenderaan istimewa siri H sempena sambutan Hari Malaysia dengan bidaan bagi nombor 1 hingga 9999 dibuka mulai Rabu ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bidaan siri berkenaan dibuka selama lima hari bermula 16 hingga 20 September ini menerusi aplikasi JPJeBid.

Menurut beliau, keputusan bidaan akan diumumkan pada 21 September ini.

Katanya, siri H mempunyai nilai istimewa kerana melambangkan keharmonian sempena sambutan Hari Malaysia selain menjadi huruf tunggal terakhir yang akan ditawarkan oleh JPJ.

“Nombor ini sangat istimewa dan orang ramai digesa mengambil peluang ini untuk mendapatkan nombor ini kerana selepas ini tiada lagi huruf tunggal akan ditawarkan oleh JPJ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran nombor pendaftaran siri berkenaan di Presint Merdeka 118 di sini malam ini.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli berucap pada Majlis Interaksi Bersama Media Sempena Hari Malaysia di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2026

Dalam pada itu, Aedy Fadly menjelaskan, huruf H bagi siri berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan huruf pendaftaran teksi.

Katanya, pendaftaran teksi menggunakan huruf H yang perlu diiringi huruf pendaftaran negeri.

“Sebagai contoh, teksi di Perak didaftarkan dengan huruf HA kerana A merupakan huruf pendaftaran negeri berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here