Datuk Suraya Yaacob.

KUALA LUMPUR – Pertuduhan terhadap Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan menimbulkan satu persoalan undang-undang yang jauh lebih besar daripada individu bernama Jamil Khir.

Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, ia menimbulkan persoalan sama ada seorang menteri boleh dianggap melakukan criminal misappropriation hanya kerana beliau memberikan kelulusan kepada suatu pelaburan kerajaan yang kemudiannya mengalami kerugian.

Ujar beliau, sekiranya jawapan kepada persoalan itu adalah `ya’, maka ia merupakan predecent sangat berbahaya.

Dalam kes Lembaga Tabung Haji (TH), tambah beliau, keputusan pelaburan bukan dibuat seorang menteri secara sendirian.

Sebaliknya, ujar Suraya, sebelum sesuatu cadangan sampai kepada menteri, ia melalui pengurusan, penilaian profesional, jawatankuasa pelaburan, Panel Pelaburan dan Lembaga Tabung Haji.

Menurutnya lagi, menteri berada di penghujung rantaian tersebut sebagai pihak yang memberikan kelulusan yang diperuntukkan oleh undang-undang.

“Jadi persoalan yang mesti dijawab oleh pendakwaan ialah: Apakah perbuatan tidak jujur yang dilakukan oleh Jamil Khir?

“Bukan sekadar: Pelaburan dibuat. Menteri tandatangan. Pelaburan rugi. Maka Menteri melakukan jenayah.

“Itu bukan standard yang sepatutnya digunakan dalam undang-undang jenayah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambahnya lagi, Seksyen 403 bukan kesalahan kerana membuat keputusan yang akhirnya salah, tetapi ia adalah kesalahan yang memerlukan unsur dishonesty.

Maksudnya, jelas beliau, mesti ada bukti bahawa pada ketika keputusan dibuat, menteri mempunyai niat tidak jujur untuk menyebabkan wrongful gain atau wrongful loss.

Tambahnya, kerugian yang diketahui beberapa tahun kemudian tidak boleh digunakan secara automatik untuk mencipta niat jahat pada masa lalu.

“Kalau prinsip ini tidak dipertahankan, kesannya kepada pentadbiran negara sangat besar.

“Bayangkan selepas ini seorang Menteri menerima satu cadangan pelaburan. Semua pegawai profesional menyokong. Investment committee menyokong. Board menyokong.

“Semua data pada ketika itu menunjukkan pelaburan itu munasabah. Menteri kemudian memberikan kelulusan.

“Lima tahun kemudian, pasaran berubah. Syarikat gagal. Pelaburan rugi.

“Adakah Menteri itu selepas bersara boleh dituduh melakukan criminal misappropriation hanya kerana tandatangannya berada pada dokumen terakhir?” katanya.

Suraya turut mempersoalkan sekiranya itu adalah prinsipnya, maka siapa menteri yang akan berani membuat keputusan.

Malah, katanya, menteri yang paling selamat selepas ini ialah  menteri yang tidak membuat apa-apa keputusan.

“Tidak tandatangan. Tidak ambil risiko. Tidak buat pelaburan. Tidak cuba melakukan sesuatu yang baharu. Kerana kalau berjaya, kerajaan dapat keuntungan.

“Tetapi kalau gagal, Menteri mungkin berdepan pertuduhan jenayah bertahun-tahun kemudian.

“Itu bukan sahaja tidak adil kepada individu. Ia boleh melumpuhkan pentadbiran kerajaan. Dan prinsip ini tidak boleh digunakan secara terpilih.

“Hari ini ia digunakan terhadap Jamil Khir. Esok prinsip yang sama boleh digunakan terhadap mana-mana Menteri. Termasuk Menteri Kewangan. Termasuk Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here