KUALA LUMPUR – UMNO sebagai parti besar bebas memilih jalan sendiri, sama ada mahu berjalan sendiri dan bergerak solo tanpa perlu bergantung kepada pihak lain pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Apatah lagi kata Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, perkara itu juga disuarakan dengan lantang oleh pemimpin UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini, yang menyifatkan parti itu sebagai `king maker yang hebat’.
Bagaimanapun, tambah Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, PN dan Pas memilih untuk mengambil pendirian terbuka danj sederhana.
Ujarnya, pemimpin Pas mendapat mandat daripada ahli akar umbi pada Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini untuk mengusahakan perpaduan ummah.
Jelas beliau, ia sebagai jalan untuk membina kekuatan bagi kelompok teras iaitu Melayu-Islam serta pihak lain yang tidak ekstrem.
“Waktu untuk “play to the gallery ” sudah tamat. Kita berdepan realiti politik dan berpijak di bumi nyata.
“Muafakat adalah satu satu jalan membina kekuatan. Kesombongan hanya membawa keruntuhan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Annuar berkata, jentera Pas dan PN kini sedang menumpukan persiapan di lebih 126 kerusi Parlimen yang disifatkan berpotensi tinggi, tidak termasuk di Sarawak.
Menurutnya, meskipun Pas tidak semestinya bertanding di kesemua kerusi Parlimen itu, namun menjadi prinsip dan amalan parti tersebut untuk membantu rakan sealiran yang bertanding kelak.
“Isu di mana dan berapa kerusi Pas bertanding di serahkan kepada pucuk pimpinan parti dan kita wala’ dengannya.
“Pas juga istiqamah menggarap gagasan dasar dan rencana untuk Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette
















