BAYAN BARU – Seorang lelaki cedera selepas bas kilang yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira tiga meter berhampiran bulatan Jalan Tun Dr Awang, di sini hari ini.
Mangsa berusia 49 tahun itu dikeluarkan pihak bomba dan diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital terdekat untuk rawatan lanjut.
Tiada penumpang dalam bas berkenaan.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika bas terbabit dipercayai dari arah Queensbay menghala ke Relau.
Bagaimanapun bas itu terbabas ketika melalui bulatan berkenaan sebelum melanggar pembahagi jalan, lalu terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam parit berkenaan.
Terdahulu, anggota polis dari Balai Polis Bayan Baru mengawal lalu lintas susulan laluan berkenaan yang biasanya sesak pada waktu puncak.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia berada di lampu isyarat di bulatan berkenaan sebelum dikejutkan dengan bunyi brek mengejut sebelum mendapati sebuah bas kilang terbabas.
“Orang ramai khususnya penunggang motosikal memberhentikan kenderaan untuk membantu kerana bimbang ada penumpang namun syukur tiada penumpang.
“Kami tidak dapat mengeluarkan pemandu susulan keadaan bas lebih separuh berada dalam parit berkenaan, jadi kami menunggu bomba datang dan mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette
















