Kredit fb Fahmi

KUCHING – Pengisian Pameran Hari Malaysia 2026 turut diperluas ke pelbagai platform digital dan media sosial agensi di bawah Kementerian Komunikasi sebagai usaha menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai naratif nasional.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata penyebaran maklumat menerusi pelbagai platform digital seperti Merdeka360, Jabatan Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak membolehkan kisah pembentukan negara dicapai secara lebih meluas.

”Sebenarnya, kita ada banyak cerita dan kisah… sebagai contoh, siapa yang mengukir Proklamasi Malaysia 1963… jadi, itu cerita yang jarang kita dengar dan Arkib Negara memang ada maklumat itu.

“Kita akan minta untuk disiarkan termasuk dalam akaun-akaun media sosial rasmi seperti Jabatan Penerangan dan rakan-rakan (agensi yang lain),” katanya dalam sidang media majlis perasmian Pameran Sambutan Hari Malaysia di Plaza Merdeka hari ini.

Beliau berkata pameran fizikal yang berkonsepkan galeri berskala besar dan ‘terowong sejarah’ itu turut diadakan di 10 bahagian di Sarawak selain pameran mini di Putrajaya serta Sabah bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri dokumen berkaitan pembentukan Malaysia.

Pameran Hari Malaysia 2026, yang berlangsung dari 10 hingga 16 Sept, bertujuan memperluas penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan negara selain mengetengahkan dokumen penting berkaitan MA63, Perlembagaan dan Rukun Negara menerusi lima segmen utama antaranya Denai Masa Pembentukan Malaysia serta Galeri Tokoh.

Sementara itu, Fahmi berkata acara kemuncak Sambutan Hari Malaysia 2026 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada malam Rabu, dan akan menonjolkan keunikan budaya menerusi pelbagai persembahan kebudayaan serta persembahan artis tempatan mewakili tiga wilayah iaitu Dayang Nurfaizah, Stacy dan Faizal Tahir.

Beliau turut menasihati pengunjung yang bakal menyaksikan pertunjukan bunga api di Tebingan Kuching sempena kemuncak sambutan berkenaan supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan situasi jerebu.

“Pada waktu ini, acara (bunga api) diteruskan tetapi kita nasihatkan semua terutama sekiranya berada lama di luar supaya memakai pelitup muka, sebaik-baiknya N95 seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here